PELABURAN ECOCERES CIPTA LEBIH 300 PEKERJAAN BERKUALITI DAN GAJI PREMIUM

YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor meluangkan masa bersama warga kerja EcoCeres di Tanjung Langsat, Pasir Gudang. | Foto MedKom
#IskandarPuteri – Kehadiran EcoCeres Renewable Fuels Sdn. Bhd. (EcoCeres) di Tanjung Langsat, Pasir Gudang mencerminkan keyakinan pelabur antarabangsa terhadap keupayaan Johor sebagai hab industri hijau dan peralihan tenaga di Asia Tenggara.
Pelaburan syarikat pengeluar bahan api bio dari Hong Kong ini telah mewujudkan lebih 300 peluang pekerjaan bergaji premium dan berkualiti tinggi dengan 185 daripadanya disandang oleh anak Johor yang memberi limpahan manfaat ekonomi secara langsung kepada rakyat tempatan.
Turut mengukuhkan kedudukan negeri ini dalam rantaian bekalan global bahan api masa hadapan, EcoCeres, pengeluar Bahan Api Penerbangan Mampan (SAF) menawarkan peluang kerjaya dengan julat gaji antara RM3,000 hingga RM15,000 bergantung kepada tahap kepakaran, kemahiran teknikal dan pengendalian teknologi operasi berintensiti tinggi.
Selari dengan komitmen tanggungjawab sosial korporat, syarikat ini juga menyalurkan sumbangan dan menjalin perkongsian strategik bagi memperkasa pembangunan pendidikan di negeri ini, melalui Tabung Kebajikan dan Pelajaran Yayasan Pelajaran Johor (YPJ).
Inisiatif ini menyokong pembangunan kemahiran dan latihan berterusan bagi melahirkan tenaga kerja tempatan berdaya saing serta berkemahiran tinggi sejajar dengan usaha Kerajaan Negeri memposisikan Johor sebagai destinasi pelaburan pilihan mahupun hab teknologi dan industri bernilai tinggi di peringkat serantau.
Terdahulu, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor meluangkan masa bersama warga kerja EcoCeres di Tanjung Langsat, Pasir Gudang, baru-baru ini.
#JohorSafeZone
#EcoCeres
#TanjungLangsat
#PekerjaanBergajiPremium
#WTN
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


