JAS KENAL PASTI PUNCA PENCEMARAN SUNGAI SAYONG DALAM TEMPOH 48 JAM

Kerajaan Johor menerusi Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor telah bertindak pantas bagi mengenal pasti punca pencemaran Sungai Sayong di Kampung Orang Asli Sayong Pinang, Kota Tinggi dalam tempoh kurang 48 jam susulan daripada aduan awam yang diterima pada 25 Januari lalu. | Kenyataan Media Tuan YB Ling Tian Soon
#IskandarPuteri – Kerajaan Johor menerusi Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor telah bertindak pantas bagi mengenal pasti punca pencemaran Sungai Sayong di Kampung Orang Asli Sayong Pinang, Kota Tinggi dalam tempoh kurang 48 jam susulan daripada aduan awam yang diterima pada 25 Januari lalu.
Bertindak atas aduan itu, JAS terus melaksanakan siasatan pada hari yang sama dengan turut memperluaskan radius siasatan ke kawasan hulu sungai yang terletak di daerah Kluang.
Hasil siasatan awal mendapati sebuah kilang memproses kelapa sawit telah dikenal pasti sebagai punca utama kepada kes pencemaran yang berlaku di sungai berkenaan, jelas YB Tuan Ling Tian Soon, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor.
Pemeriksaan teknikal di premis yang terletak kira-kira 45 kilometer dari lokasi aduan itu yang kemudiannya menemukan beberapa kesalahan pelanggaran serius terhadap peraturan alam sekitar yang telah menjejaskan kualiti air Sungai Sayong serta turut memberi kesan kepada komuniti Orang Asli dan penduduk lain di kawasan sekitarnya.
Susulan penemuan tersebut, Kerajaan Negeri telah mengarahkan tindakan tegas serta-merta diambil dengan mengeluarkan Perintah Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) mengikut Seksyen 38(1)(a), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
Selain itu, lesen operasi premis terbabit turut digantung sehingga semua kerja pembaikan dan penambahbaikan dilaksanakan sepenuhnya serta perlu mendapatkan pengesahan telah mematuhi piawaian yang ditetapkan.
Sementara itu, seorang pengurus kilang dan seorang operator turut ditahan mengikut Seksyen 37(C), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 bagi melengkapkan siasatan sebelum tindakan pendakwaan di mahkamah akan diambil.
Usaha bersepadu itu mencerminkan pendirian tegas Kerajaan Negeri yang tidak akan sesekali berkompromi terhadap sebarang bentuk pencemaran alam sekitar, khususnya yang boleh menjejaskan kesejahteraan rakyat dan komuniti Orang Asli.
#JohorSafeZone
#SungaiSayong
#PencemaranSungai
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


