RUMAH PRIHATIN JOHOR PERKASA PEMILIKAN KEDIAMAN PERTAMA

Inisiatif Rumah Prihatin Johor disasarkan kepada golongan yang memiliki tanah sendiri, khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman bagi membolehkan pembinaan rumah pertama yang lebih selamat, selesa dan terancang. | Foto Perbadanan Kemajuan Perumahan Johor

 

#IskandarPuteri – Rumah Prihatin Johor, inisiatif di bawah kerangka Perumahan Kasih Johor kini menawarkan dua pilihan reka bentuk kediaman, sekali gus mencerminkan komitmen Kerajaan Johor dalam memperkukuh agenda perumahan rakyat yang berfokus kepada keselesaan, kemampuan dan kesejahteraan keluarga terutama golongan berpendapatan rendah.

 

Inisiatif ini disasarkan kepada golongan yang memiliki tanah sendiri, khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman bagi membolehkan pembinaan rumah pertama yang lebih selamat, selesa dan terancang.

 

Melalui pelaksanaan Rumah Prihatin Johor, dua pilihan reka bentuk ditawarkan bagi memenuhi keperluan saiz isi rumah dan kemampuan kewangan pemohon, sekali gus memberi fleksibiliti kepada rakyat untuk membuat pilihan yang bersesuaian.

 

Pilihan pertama melibatkan bayaran peserta sebanyak RM56,000 bagi pembinaan rumah berkeluasan 660 kaki persegi yang dilengkapi dengan tiga bilik tidur dan dua bilik air, manakala bagi pilihan kedua pula, ia akan melibatkan bayaran sebanyak RM36,000 bagi rumah berkeluasan 470 kaki persegi dengan kemudahan dua bilik tidur dan satu bilik air.

 

Setiap unit rumah berkenaan akan menerima subsidi Kerajaan Johor sebanyak RM30,000, yang disalurkan bagi mengurangkan kos pembinaan dan memastikan kediaman yang dibangunkan kekal berkualiti serta mampu dimiliki oleh golongan sasar.

 

Antara syarat kelayakan utama yang ditetapkan bagi mendapatkan inisiatif perumahan ini ialah pemohon merupakan warganegara Malaysia berstatus Bumiputera, berumur 25 tahun ke atas dengan pendapatan isi rumah tidak melebihi RM8,000 serta tidak memiliki rumah dan membina rumah pertama di atas tanah milik sendiri.

 

Pemohon juga perlu membuat deklarasi kemampuan bayaran dan disahkan tidak pernah menerima sebarang bentuk bantuan bina rumah daripada mana-mana agensi lain bagi memastikan agihan bantuan yang dilaksanakan ini dapat dilakukan secara adil dan berintegriti.

 

Dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan Rumah Prihatin Johor Bil. 1/2026, baru-baru ini, sebanyak 41 permohonan telah dipertimbangkan melibatkan daerah Kulai, Kota Tinggi, Pontian dan Batu Pahat, termasuk kawasan Rancangan Tanah Berkelompok Batu Pahat dengan setiap permohonan dinilai secara menyeluruh.

 

Kerajaan Johor di bawah kepimpinan YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor akan terus memastikan Rumah Prihatin Johor kekal menjadi instrumen penting dalam membina maruah hidup rakyat, memperkukuh institusi keluarga dan menyokong agenda Maju Johor serta aspirasi Bangsa Johor yang lebih sejahtera.

 

#JohorSafeZone
#PerumahanKasihJohor
#RumahPrihatinJohor
#BangsaJohorSejahtera
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor