ELAK BUAT PEMBAKARAN TERBUKA KETIKA CUACA PANAS

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Johor juga telah menggerakkan jentera mereka bagi menangani tujuh operasi pemadaman kebakaran yang berlaku di beberapa lokasi di daerah Johor Bahru, Kota Tinggi, Kluang, Batu Pahat dan Muar sejak 28 Januari lalu yang turut melibatkan kawasan terjejas seluas kira-kira 154 ekar. | Foto JBPM Johor

 

#IskandarPuteri — Orang ramai dinasihatkan supaya tidak melakukan sebarang aktiviti pembakaran terbuka terutama pada musim cuaca panas dan kering yang melanda Johor ketika ini bagi mengelakkan sebarang risiko kebakaran serta pencemaran alam sekitar.

 

Nasihat tersebut disampaikan oleh YB Tuan Ling Tian Soon, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor susulan peningkatan risiko kebakaran yang melibatkan pembakaran sampah, rumput, semak dan kebun yang boleh menjadi tidak terkawal dalam tempoh singkat akibat keadaan persekitaran yang panas dan kering.

 

Walaupun terdapat dalam anggota masyarakat melakukan pembakaran berskala kecil, kejadian seumpama ini berpotensi boleh merebak dengan pantas dalam keadaan cuaca panas, kering serta berangin, sekali gus memberi risiko kepada keselamatan penduduk, harta benda serta kualiti udara setempat.

 

Untuk rekod, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Johor juga telah menggerakkan jentera mereka bagi menangani tujuh operasi pemadaman kebakaran yang berlaku di beberapa lokasi di daerah Johor Bahru, Kota Tinggi, Kluang, Batu Pahat dan Muar sejak 28 Januari lalu yang turut melibatkan kawasan terjejas seluas kira-kira 161.16 hektar.

 

Sehubungan itu, Kerajaan Negeri menegaskan bahawa pembakaran terbuka merupakan satu kesalahan di bawah peruntukan undang-undang sedia ada dan boleh dikenakan tindakan tegas sekiranya berlaku pelanggaran terhadap peraturan yang ditetapkan.

 

Kerajaan Johor juga akan terus memperkukuh kerjasama dengan JBPM serta agensi berkaitan bagi meningkatkan pemantauan dan memastikan keselamatan serta kesejahteraan rakyat sentiasa terpelihara.

 

Orang awam turut digesa agar sentiasa berwaspada dan melaporkan segera sebarang kejadian kebakaran atau sebarang bentuk kepulan asap mencurigakan kepada talian kecemasan 999 atau balai bomba berhampiran bagi membolehkan tindakan pantas dapat diambil.

 

#JohorSafeZone
#ElakPembakaranTerbuka
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor