38 PROJEK BERNILAI RM15.3 BILION DILAKSANA, PERKUKUH JAMINAN BEKALAN AIR

YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor mengadakan perbincangan bersama YAB Datuk Amar Fadillah Yusof, Timbalan Perdana Menteri II merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) bagi meneliti pelan bekalan air Johor secara menyeluruh. | Foto FB Onn Hafiz Ghazi
#IskandarPuteri – Johor memperkukuh jaminan bekalan air negeri menerusi pelaksanaan 38 projek infrastruktur air bernilai RM15.3 bilion bagi memastikan bekalan sentiasa stabil, mencukupi dan mampan untuk rakyat serta sektor industri di negeri ini.
Bagi tempoh 2025 hingga 2027, lapan projek akan dilaksanakan melibatkan pembinaan dua Loji Rawatan Air (LRA), penyaluran air mentah dari Sungai Sedili Besar ke Sungai Gembut serta penggantian paip lama bagi mengurangkan kadar Air Tidak Berhasil (NRW).
Selain itu, sebanyak 12 projek jangka sederhana yang dirancang antara 2028 hingga 2030 pula akan merangkumi pembinaan enam LRA, projek Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS), ‘rezoning’ infrastruktur bekalan air serta penggantian paip air mentah ke empangan.
Turut dirancang ialah projek TAPS Sungai Johor bernilai RM605 juta yang dijangka mampu menampung 26 juta meter padu air dan membekalkan sehingga 156 juta liter sehari.
Bagi tempoh jangka panjang antara 2031 hingga 2050, sebanyak 18 projek termasuk pembinaan 15 LRA serta tiga projek TAPS dan baraj akan dilaksanakan bagi menambah kapasiti bekalan air negeri.
Selain itu, Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Bandar Batu Pahat – Parit Sulong bernilai RM187.17 juta turut dilaksanakan bagi memperkukuh sistem tebatan banjir di kawasan berisiko.
Terdahulu, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor mengadakan perbincangan bersama YAB Datuk Amar Fadillah Yusof, Timbalan Perdana Menteri II merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) bagi meneliti pelan bekalan air Johor secara menyeluruh.
#JohorSafeZone
#BekalanAirMampan
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


