IMPIAN JADI REALITI, JDT LAKAR SEJARAH PERINGKAT TINGGI

JDT menetapkan KPI tahunan yang jelas iaitu dalam kelompok empat teratas liga, suku akhir piala domestik dan melepasi peringkat kumpulan ACLE. | Foto JOHOR Southern Tigers
#IskandarPuteri – Setiap musim, petunjuk prestasi utama yang diletakkan oleh Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) sangat jelas dan realistik. Berada dalam kelompok empat teratas liga, layak ke peringkat suku akhir bagi saingan Piala FA dan Piala Malaysia serta melepasi peringkat kumpulan bagi Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE).
Bagi merealisasikan perkara tersebut, hanya ada seorang individu yang sentiasa berani melawan arus untuk menjadikan JDT sebagai kuasa besar bola sepak, bukan sahaja di dalam negara malah di benua Asia.
Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor selaku pemilik JDT mempunyai visi dalam bola sepak tertumpu kepada revolusi struktur, tahap profesionalisme tinggi dan kecemerlangan konsisten. Kesemua ini terbukti dengan kejayaan JDT yang mendominasi liga tempatan serta bersaing di pentas tertinggi Asia.
Tunku Ismail menyasarkan peningkatan kualiti bola sepak negara ke tahap antarabangsa dengan membawa perubahan drastik dalam struktur pengurusan bola sepak, menyasarkan persekitaran profesional dan kompetitif, bukan hanya bergantung kepada nasib. Baginda turut menekankan pengurusan kelab yang komprehensif, infrastruktur bertaraf dunia dan disiplin tinggi dalam kalangan pemain serta pegawai.
Tidak cukup dengan itu, Tunku Ismail menjadikan bola sepak sebagai medium untuk menyatukan rakyat Johor dan membina kebanggaan serta maruah negeri. Secara tidak langsung, pengorbanan ini telah meletakkan negeri Johor di peta bola sepak dunia.
“Kalau saya tak berjaya pada hari ini, saya akan cuba lagi tahun akan datang. Saya akan cuba sampai kita dapat,” – DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor (10 Disember 2025).
Perjalanan luar biasa skuad Harimau Selatan dalam kejohanan ACLE 2025-2026 berakhir di peringkat suku akhir selepas kecundang dengan juara bertahan dari Arab Saudi, Al-Ahli. Walaupun terkandas, pencapaian ini merupakan sejarah baharu bagi kelab tersebut kerana berjaya melangkah sejauh itu dalam format elit Asia yang baharu.
JDT memulakan kempen dengan langkah kiri selepas tumpas kepada Buriram United di peringkat liga. Walau bagaimanapun, Harimau Selatan bangkit dengan kemenangan penting menentang pasukan seperti Chengdu Rongcheng dan Shanghai Shenhua dari China serta gergasi Jepun, Vissel Kobe untuk mengesahkan tempat ke pusingan kalah mati.
Beraksi di peringkat 16 Terbaik untuk kali ketiga dalam sejarah, JDT berjaya membalas dendam terhadap wakil Jepun, Sanfrecce Hiroshima. Selepas menang 3-1 di Stadium Sultan Ibrahim, mereka mengekalkan kelebihan agregat walaupun kalah tipis 0-1 di tempat lawan untuk mara ke peringkat suku akhir.
Peringkat suku akhir pada kali ini menyaksikan tiada satu wakil dari Korea Selatan. JDT menentang juara bertahan, Al-Ahli di Jeddah dan perlawanan tersebut menjadi penamat buat kejohanan ACLE 2025-2026 selepas tumpas 1-2 sekali gus menamatkan impian mereka ke separuh akhir.
Kekalahan ini bukanlah pengakhiran kerana JDT mempunyai visi jangka panjang yang besar. Kejayaan mara ke suku akhir ACLE merupakan satu pencapaian luar biasa buat JDT dan bola sepak negara khususnya. JDT telah membuktikan bahawa kelab kecil ini mampu bersaing dengan gergasi Asia.
Luaskan Kuasamu Johor!
#JohorSafeZone
#JDT
#ACLElite
#WhatCanYouDo
#TheTMJeffect
#SukanMDJ
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor



