KUALITI UDARA TERKAWAL, OPERASI PEMADAMAN DITERUSKAN

Operasi pemadaman kebakaran yang kini memasuki hari kelima melibatkan kawasan tanaman ladang kelapa sawit dan nanas dengan keluasan keseluruhan kira-kira 22 ekar terus dilaksanakan secara bersepadu melibatkan pelbagai agensi Kerajaan Negeri dan Persekutuan. | Foto JBPM Negeri Johor

 

#IskandarPuteri — Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di kawasan kebakaran tanah gambut dekat Sungai Linau, Simpang Renggam kekal terkawal pada paras 59 hasil daripada pemantauan berterusan agensi berkaitan, menunjukkan kualiti udara di kawasan terjejas masih sederhana dan tidak menjejaskan kesihatan awam.

Operasi pemadaman kebakaran yang kini memasuki hari kelima melibatkan kawasan tanaman ladang kelapa sawit dan nanas dengan keluasan keseluruhan kira-kira 22 ekar terus dilaksanakan secara bersepadu melibatkan pelbagai agensi Kerajaan Negeri dan Persekutuan.

Pada masa sama, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Johor giat menjalankan pemantauan di lokasi kejadian serta kawasan sekitar bagi menilai tahap kualiti udara semasa dan mengelakkan sebarang aktiviti pembakaran terbuka yang boleh memburukkan lagi keadaan.

Pendekatan ini dilaksanakan selari dengan usaha kawalan kebakaran yang dijalankan secara 24 jam, termasuk penggunaan peralatan khas pemadaman kebakaran gambut serta pembinaan ‘fire break’ bagi mengekang api terus daripada terus merebak ke kawasan berhampiran.

Selain itu, pihak Kadi Daerah Kluang dengan kerjasama imam masjid dan surau akan mengadakan solat sunat Istisqa’ di lokasi kebakaran serta di masjid dan surau seluruh daerah sebagai ikhtiar bagi memohon hujan berikutan keadaan cuaca panas dan kering berpanjangan di daerah berkenaan.

Sehingga kini, tiada pemindahan penduduk atau pembukaan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) diperlukan dan keadaan keselamatan serta kesejahteraan penduduk setempat sentiasa dipantau secara rapi.

Kerajaan Johor kekal komited bagi memastikan operasi pemadaman kebakaran dilaksanakan secara menyeluruh dan berkesan, seiring pemantauan alam sekitar yang berterusan bagi melindungi kesihatan rakyat serta kelestarian alam sekitar negeri ini.

#JohorSafeZone
#ElakPembakaranTerbuka
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor