TUAIAN SERENTAK ESTET KERANG JOHOR CATAT REKOD MBOR

YB Dato’ Zahari Sarip, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor menyempurnakan Program Tuaian Serentak Projek Estet Kerang Negeri Johor di Dewan Parit Karang Laut, Tangkak. | Foto MDJ Wira Anggara
#Tangkak – Kerajaan Johor bersama Jabatan Perikanan Malaysia mencatat sejarah apabila berjaya meraih pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi Program Tuaian Serentak Projek Estet Kerang Negeri Johor berjumlah sebanyak 8 tan metrik.
Kejayaan tersebut melibatkan 17 lot ternakan meliputi Tangkak dengan 4 lot, Batu Pahat (3 lot) serta Pontian (10 lot) sekali gus memperkukuh usaha berterusan dalam memajukan industri ternakan kerang dan menjadikan negeri ini sebagai hab utama pengeluaran kerang-kerangan negara.
Bagi menyokong pembangunan Estet Kerang Negeri Johor, Kerajaan Negeri sehingga kini telah memperuntukkan sebanyak RM2 juta yang disalurkan kepada Jabatan Perikanan Negeri Johor di bawah Rancangan Johor Lima Tahun (RJ5T) serta Program Mengoptimumkan Penggunaan Tanah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) selain menambah peruntukan sebanyak RM300,000 yang sudah diluluskan untuk tahun 2026.
Peruntukan tersebut melibatkan usaha melaksanakan kerja-kerja pembersihan dasar, pembenihan, pendedahan dan latihan kepada penternak serta penyediaan bantuan sokongan merangkumi peralatan dan fasiliti pascatuai bagi memastikan hasil ternakan dapat dikendalikan, diproses serta dipasarkan dalam keadaan berkualiti tinggi.
Terdahulu, YB Dato’ Zahari Sarip, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor menyempurnakan Program Tuaian Serentak Projek Estet Kerang Negeri Johor di Dewan Parit Karang Laut, Tangkak, hari ini.
Turut hadir, YB Puan Khairin-Nisa Ismail, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor; YBhg. Dato’ Haji Azahari Haji Othman, Timbalan Ketua Pengarah Perikanan (Pembangunan), Jabatan Perikanan Malaysia serta YBrs. Puan Rosmawati Ghazali, Pengarah Perikanan Negeri Johor.
#JohorSafeZone
#EstetKerangKerangan
#KeterjaminanMakanan
#PenerajuPerikanan
#DOFMalaysia
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


