335 SEKOLAH DI BATU PAHAT DITUTUP ESOK AKIBAT JEREBU

Terdahulu, YBhg. Tuan Haji Kamalludin Jamal, Pegawai Daerah Batu Pahat merangkap Pengerusi JPBD Batu Pahat, memaklumkan arahan penutupan institusi pendidikan berkenaan susulan bacaan IPU yang melebihi 200 di daerah berkenaan. | Kenyataan Media Pejabat Daerah Batu Pahat
#IskandarPuteri – Sebanyak 335 institusi pendidikan di seluruh daerah Batu Pahat diarahkan tutup pada esok susulan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencecah 203 pada kategori Sangat Tidak Sihat setakat jam 8 malam tadi.
Jumlah berkenaan merangkumi 176 sekolah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), 105 Sekolah Agama Kerajaan Johor (SAKJ), sebuah Sekolah Rendah Agama Bersepadu (SRAB) dan 53 Institusi Pengajian Islam Swasta.
Daripada keseluruhan 176 sekolah di bawah KPM, sebanyak 144 merupakan Sekolah Kebangsaan (SK), 31 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) dan sebuah kolej vokasional.
Arahan penutupan berkenaan dibuat susulan bacaan IPU telah melebihi paras 200 serta selaras dengan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan (PTJK) dan garis panduan yang telah ditetapkan oleh KPM.
Justeru, pihak sekolah hendaklah melaksanakan sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sekiranya diarahkan berbuat demikian oleh KPM, Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) atau Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Batu Pahat, tertakluk kepada arahan dan garis panduan yang berkuat kuasa.
Bagi tujuan itu, kaedah pelaksanaan PdPR, tugasan murid dan saluran komunikasi yang berkaitan hendaklah dimaklumkan kepada pihak ibu bapa atau penjaga melalui saluran rasmi sekolah.
Sementara itu, peperiksaan Matriks Pembelajaran Tahun 4 (MPT4) ditunda berikutan ia merupakan pentaksiran biasa yang boleh dilaksanakan pada hari lain.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Batu Pahat bersama agensi berkaitan akan terus memantau bacaan IPU terkini, manakala keputusan berkaitan pembukaan semula sekolah akan dibuat berdasarkan perkembangan kualiti udara serta arahan rasmi daripada pihak berkuasa.
Orang ramai diminta mendapatkan maklumat sahih melalui saluran rasmi Jabatan Alam Sekitar (JAS), KPM, JPNJ, PPD Batu Pahat dan Pejabat Daerah Batu Pahat serta tidak menyebarkan sebarang maklumat yang belum disahkan.
Terdahulu, YBhg. Tuan Haji Kamalludin Jamal, Pegawai Daerah Batu Pahat merangkap Pengerusi JPBD Batu Pahat, memaklumkan arahan penutupan institusi pendidikan berkenaan susulan bacaan IPU yang melebihi 200 di daerah berkenaan.
#JohorSafeZone
#JerebuJohor
#BatuPahat
#PendidikanJohor
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


