MASKIAH MASROM DINOBAT SEBAGAI SASTERAWAN JOHOR KE-14

YBhg Dr. Maskiah Masrom, Pengarah Institut Persuratan Alam Melayu di KUIJSI, telah dinobatkan sebagai penerima Anugerah Sasterawan Johor ke-14. | Foto MDJ Nurina Aisyah

 

#JohorBahru – YBhg Dr. Maskiah Masrom, Pengarah Institut Persuratan Alam Melayu, Kolej Universiti Islam Johor Sultan Ibrahim (KUIJSI) semalam dinobatkan sebagai penerima Anugerah Sasterawan Johor Ke-14.

 

Beliau membawa pulang wang tunai sebanyak RM10,000 beserta sijil penghargaan, selain turut memenangi kategori Cerpen Eceran yang berjudul ‘Warna Hitam Di Atas Jingga’ dengan hadiah wang tunai sebanyak RM1,000 pada ASJ kali Ke-14 yang dianjurkan oleh Yayasan Warisan Johor (YWJ).

 

Ketika ditemui, Dr. Maskiah memberitahu beliau telah bergiat dalam bidang sastera sejak 1979 dan hampir menguasai semua genre penulisan kreatif yang merangkumi enam novel, tujuh kumpulan cerpen, tiga kumpulan puisi dan ribuan rangkap syair.

 

Beliau memberitahu, penganugerahan ini memberi ruang serta peluang kepadanya untuk memperkasa sastera dan bahasa khususnya di Negeri Johor kerana pada masa kini, dunia persuratan berdepan dengan pelbagai cabaran dalam penghasilan karya-karya yang bermutu.

 

Tambahnya lagi, Johor juga sememangnya amat dikenali dengan persuratan tradisional dan penganjuran ASJ kali ini memberi penilaian semula terhadap karya tersebut.

 

Ini kerana, persuratan tradisional telah dijadikan sebagai medium menyampaikan bahan bercerita sejak dahulu lagi, sekali gus dapat memberi pendedahan kepada generasi muda supaya tidak melupakan karya-karya berbentuk tradisional.

 

Sepanjang 46 tahun berkecimpung dalam dunia penulisan, anak jati Johor ini turut berkongsi pencapaiannya sebelum ini yang telah memenangi lebih 20 anugerah sastera berprestij termasuk Hadiah Sastera Perdana Malaysia, Hadiah Sastera Kumpulan Utusan, Sayembara Cerpen Bahasa Melayu Peringkat Dunia di Singapura dan Anugerah Sastera Johor.

 

Selain itu, beliau turut diiktiraf sebagai Tokoh Alumni Tersohor Kepengarangan Cerpen oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Ikon Guru Peringkat Kebangsaan.

 

Sementara itu, pada majlis sama turut diadakan penyampaian Anugerah Penggiat Sastera Johor kepada Amiruddin Md Ali Hanafiah manakala Anugerah Penulis Muda Johor pula dimenangi Nursuhada Sayuti yang masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM6,000 dan RM4,000 sebagai menghargai sumbangan para penulis, pemikir serta karyawan Negeri Johor.

 

Terdahulu, YB Tuan Raven Kumar Krishnasamy, Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Warisan dan Budaya Negeri Johor selaku wakil rasmi YAB Menteri Besar Johor hadir menyempurnakan Majlis Anugerah Sastera Johor Kali Ke-14 di Kompleks Warisan Sultan Abu Bakar, YWJ.

 

#JohorSafeZone
#YWJ
#DBP
#SasteraJohor
#BahasaJiwaBangsa
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor