TINDAKAN TEGAS TERHADAP PEMAJU PUNCA BANJIR

Kerajaan Johor akan mengambil tindakan tegas terhadap pemaju yang menjadi punca banjir di Johor Bahru dan Kulai dengan menghentikan operasi pembinaan sehingga langkah pembetulan dilaksanakan sepenuhnya. | Foto FB Mohd Jafni Md Shukor

 

#IskandarPuteri – Kerajaan Johor akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pemaju yang dikenal pasti menjadi punca kejadian banjir di beberapa kawasan di sekitar daerah Johor Bahru dan Kulai dengan menghentikan operasi pembinaan serta-merta sehingga semua langkah pembetulan dan mitigasi bencana alam itu dilaksanakan sepenuhnya.

 

Ia berlaku susulan daripada kegagalan mereka dalam mematuhi keperluan teknikal serta kawalan sistem saliran yang telah ditetapkan hingga menyebabkan Notis Henti Kerja Serta-Merta selama 14 hari diberikan terhadap dua pemaju di bawah peruntukan Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) di kawasan terlibat.

 

Kerajaan Negeri menegaskan bahawa setiap pembangunan di Johor wajib mematuhi setiap syarat teknikal yang telah ditetapkan termasuk aspek pengurusan saliran, sistem perparitan, kawalan hakisan dan pelaksanaan pelan mitigasi banjir yang berkesan.

 

Langkah serta pematuhan yang dilaksanakan ini bagi mengelak situasi yang menjejaskan alam sekitar, sekali gus memberi kesan langsung kepada kesejahteraan dan keselamatan rakyat, jelas YB Dato’ Mohd Jafni Md Shukor, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor.

 

Sebagai langkah berterusan, Kerajaan Negeri melalui 16 PBT akan memperketat pemantauan di lapangan serta tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang yang lebih tegas termasuk pemberhentian projek, pengenaan kompaun dan tindakan lanjut terhadap mana-mana pihak yang masih ingkar.

 

Ketegasan ini mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Negeri dalam memastikan setiap pembangunan di Johor dilaksanakan secara bertanggungjawab dan selaras dengan agenda Maju Johor terutama dalam usaha merancakkan pertumbuhan ekonomi serta menarik pelaburan ke negeri ini.

 

#JohorSafeZone
#Banjir
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor