PDRC PACU 192 PROJEK RMMJ LIBATKAN 49,603 UNIT UNTUK BANGSA JOHOR

Sejak diperkenalkan pada tahun 2022, sebanyak 36 sesi PDRC telah dilaksanakan melibatkan 156 pemaju merentasi 10 daerah dan 16 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), sekali gus memberi impak menyeluruh kepada rakyat Johor. | Foto FB Mohd Jafni Md Shukor

 

#IskandarPuteri – Kerajaan Johor memperkukuh agenda perumahan rakyat apabila berjaya mengikat komitmen pemaju menerusi 192 projek melibatkan pembinaan sebanyak 49,603 unit Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) di seluruh negeri ini.

 

Pencapaian ini digerakkan melalui Jawatankuasa Perancangan, Pembangunan dan Rekabentuk (PDRC) yang berperanan sebagai platform strategik bagi memastikan setiap agenda pembangunan perumahan rakyat dilaksanakan secara tersusun, tegas dan berkesan.

 

Setiap unit RMMJ yang dirancang merangkumi pelbagai kategori harga bermula dari RM50,000 hingga RM300,000 bagi memenuhi keperluan perumahan pelbagai lapisan Bangsa Johor.

 

Pendekatan ini membuktikan PDRC bukan sekadar berfungsi sebagai medan perbincangan, sebaliknya ia juga menjadi mekanisme pemantauan yang menekan komitmen pemaju bagi memastikan kesemua projek RMMJ benar-benar direalisasikan di lapangan.

 

Sejak diperkenalkan pada tahun 2022, sebanyak 36 sesi PDRC telah dilaksanakan melibatkan 156 pemaju merentasi 10 daerah dan 16 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), sekali gus memberi impak menyeluruh kepada rakyat Johor.

 

Dalam konteks pembangunan pesat termasuk di kawasan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), PDRC turut menyediakan dokumentasi bersifat ‘legal binding’ bagi memastikan setiap pemaju dapat melaksanakan tanggungjawab membina komponen RMMJ berkenaan.

 

Komitmen ini menjadi sebahagian daripada sasaran penting iaitu untuk membina 100,000 unit RMMJ menjelang 2030 di bawah kepimpinan YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor selaras dengan agenda pembangunan inklusif negeri.

 

Terdahulu, YB Dato’ Mohd Jafni Md Shukor, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor mempengerusikan Mesyuarat PDRC Bilangan 2/2026 melibatkan lapan pemaju dan enam pihak berkuasa tempatan (PBT), baru-baru ini.

 

#JohorSafeZone
#RumahMampuMilikJohor
#RMMJ
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor