FOREST CITY BERPOTENSI MUNCUL SEBAGAI HAB KEWANGAN PILIHAN SUSULAN KETIDAKTENTUAN KONFLIK GLOBAL

Zon Kewangan Khas Forest City (FCSFZ) berpotensi menjadi hab kewangan global baharu dan lokasi strategik pelabur antarabangsa susulan ketegangan geopolitik global serta konflik berterusan di Asia Barat. | Foto arkib MDJ

 

#IskandarPuteri – Zon Kewangan Khas Forest City (FCSFZ) bakal menjadi hab kewangan global baharu kepada pelabur antarabangsa ekoran ketegangan geopolitik global berpunca daripada konflik berterusan di Asia Barat, sekali gus menjadikan kawasan zon ekonomi khas itu sebagai lokasi yang strategik dan kompetitif.

 

Rentetan kemelut antarabangsa itu, FCSFZ dijangka mampu meraih manfaat daripada limpahan pelaburan bernilai bersih ultra tinggi (UHNW) yang sememangnya memerlukan destinasi pelaburan baharu dengan kestabilan dasar, fleksibiliti percukaian serta persekitaran politik yang selamat.

 

Dr. Mohd. Effandi Yusoff, Profesor Madya di Jabatan Perakaunan dan Kewangan dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), memberitahu kewujudan FCSFZ berpotensi memperkukuh peranannya sebagai hab kewangan pilihan bagi pelabur global yang kini sedang mencari perlindungan modal serta destinasi dana yang lebih selamat di tengah-tengah ketidaktentuan geopolitik pada masa kini.

 

Tambahnya lagi, lokasi strategik FCSFZ yang merupakan sebahagian daripada Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang dilaksanakan oleh Kerajaan Johor telah menawarkan kelebihan sebagai destinasi pelaburan yang selamat dan terletak jauh daripada sebarang gangguan konflik.

 

Selain itu ujarnya, lokasi ini juga dilihat berupaya menarik pelaburan dalam sektor teknologi kewangan (fintech) dan perniagaan berkaitan aset digital, selaras dengan usaha membangunkan ekosistem perkhidmatan kewangan yang lebih komprehensif serta progresif.

 

Untuk rekod, Kerajaan Negeri berjaya membina reputasi Johor sebagai destinasi pelaburan pilihan di rantau Asia Tenggara yang dibantu oleh kestabilan politik domestik serta hubungan kukuh bersama negara jiran serantau.

 

#JohorSafeZone
#ForestCity
#FCSFZ
#JS-SEZ
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor