PELAKSANAAN PROJEK RTB SUNGAI MUAR FASA 3 PAKEJ 1 LANCAR

Kerajaan Johor terus memantau pelaksanaan Projek Tebatan Banjir (RTB) Sungai Muar Fasa 3 Pakej 1 bagi memastikan kelancarannya demi kesejahteraan rakyat. | Foto FB Fazli Salleh
#IskandarPuteri – Kerajaan Johor akan terus memastikan gerak kerja pelaksanaan Projek Tebatan Banjir (RTB) Sungai Muar Fasa 3 Pakej 1 dipantau rapi dan berjalan lancar supaya ia mampu memberi impak langsung kepada kesejahteraan rakyat.
Projek berimpak tinggi itu melibatkan jajaran sepanjang 25 kilometer dengan kos keseluruhan hampir RM559 juta yang telah bermula pada 23 Julai 2024 sebelum dijangka siap pada tahun 2027.
Pelaksanaan RTB berkenaan merangkumi kerja-kerja pembersihan, pelebaran dan pendalaman sungai serta pembinaan benteng dan ‘bypass’ untuk mengawal aliran air dengan lebih sistematik.
Projek itu dijangka memberi manfaat kepada lebih 22,000 penduduk khususnya di Kampung Seberang Batu Badak, Kampung Pogoh dan Kampung Chodan di Segamat, sekali gus meningkatkan tahap keselamatan serta kualiti hidup masyarakat di kawasan terlibat.
Kerajaan Negeri kekal komited memastikan setiap projek pembangunan yang dilaksanakan bukan sahaja dapat disiapkan mengikut perancangan, malah mampu menyelesaikan isu rakyat melalui pelaksanaan yang cekap, tersusun dan berimpak tinggi.
Terdahulu, YB Tuan Ir. Ts. Mohamad Fazli Mohamad Salleh, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Negeri Johor mengadakan lawatan meninjau perkembangan Projek RTB Sungai Muar Fasa 3 Pakej 1 di Segamat, baru-baru ini.
#JohorSafeZone
#RTBSungaiMuar
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


