JOHOR PERUNTUK RM14.9 JUTA BAGI BANTUAN PERUMAHAN KASIH JOHOR FASA 1 DAN 2

YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor menyempurnakan Majlis Penyampaian Inisiatif Perumahan Kasih Johor Fasa 2 di Austin International Convention Centre. | Foto MDJ Nurina Aisyah
#JohorBahru – Kerajaan Johor memperuntukkan sebanyak RM14.9 juta bagi pelaksanaan Bantuan Perumahan Kasih Johor merangkumi Fasa 1 dan 2 yang memanfaatkan seramai 3,526 penerima, sebagai sebahagian daripada usaha berterusan memperkukuh agenda perumahan rakyat di negeri ini.
Agenda perumahan rakyat terus diperkasa melalui inisiatif lebih menyeluruh dan inklusif, merangkumi bantuan sewaan, pemilikan rumah pertama serta sokongan kepada golongan memerlukan, khususnya bagi meringankan kos sara hidup.
Kerajaan Negeri turut menambah baik bantuan sewa rumah dengan meningkatkan kadar bantuan daripada RM2,000 kepada RM2,500 secara bayaran ‘one-off’, serta menaikkan kadar sewaan rumah yang diambil kira daripada RM1,500 kepada RM2,500. Pada masa yang sama, had kelayakan isi rumah turut diperluas daripada RM5,000 kepada RM10,000 bagi membolehkan lebih ramai rakyat menikmati manfaat tersebut.
Bantuan beli rumah pertama dan bantuan masuk rumah pertama turut diperluas melibatkan pembelian lot kediaman Bumiputera bernilai antara RM300,000 hingga RM650,000 sebagai usaha memperkukuh agenda pemilikan hartanah dalam kalangan Bumiputera.
Untuk rekod, RM100 juta telah diperuntukkan Kerajaan Johor bagi inisiatif bantuan beli rumah pertama dengan Fasa 1 melibatkan 780 penerima berjumlah RM3.9 juta, manakala Fasa 2 pula melibatkan 1,839 penerima dengan nilai keseluruuan RM9.195 juta.
Bagi bantuan masuk rumah pertama pula, sebanyak RM17.83 juta diperuntukkan dengan Fasa 1 memantaatkan 240 penerima melibatkan peruntukan keseluruhan bernilai RM480,000, diikuti Fasa 2 dengan seramai 424 penerima dengan berjumlah RM868,000.
Terdahulu, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor hadir menyempurnakan Majlis Penyampaian Inisiatif Perumahan Kasih Johor Fasa 2 di Austin International Convention Centre, hari ini.
Hadir sama, YB Dato’ Mohd Jafni Md Shukor, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor; YB Datin Paduka Dr. Hajah Suhailizan Suliman, Ketua Eksekutif Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor (PKPJ) serta YBhg. Encik Mohd Masni Wakiman, Pegawai Daerah Johor Bahru.
#JohorSafeZone
#BangsaJohorSejahtera
#PerumahanKasihJohor
#RumahMampuMilikJohor
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


