JOHOR JEWELS UNGGULI CARTA NSL 2026

Johor Jewels beraksi pada perlawanan minggu kedua Netball Super League (NSL) 2026 di Stadium Juara Bukit Kiara.

 

#IskandarPuteri – Pasukan Johor Jewels terus menyinar selepas mencatatkan empat kemenangan daripada empat perlawanan bagi saingan Netball Super League (NSL) 2026, sekali gus menduduki tangga teratas liga.

 

Minggu kedua NSL 2026 menyaksikan pasukan dari selatan tanah air ini terus merekodkan keputusan yang positif selepas menewaskan Perak Phoenix dengan jurang besar 71-24 pada perlawanan yang berlangsung pada Sabtu di Stadium Juara Bukit Kiara. Selain itu, Jewels meneruskan rentak cemerlang dengan menundukkan Kedah Sunshine dengan jaringan 72-37 pada Ahad.

 

Gandingan ikon bola jaring bertaraf dunia, Laura Langman dan Gretel Bueta terbukti menjadi ‘kilauan’ utama Johor Jewels. Mereka telah mencetuskan fenomena sejak minggu pertama liga dalam membantu Johor Jewels mencatatkan kemenangan besar berturut-turut dan menjadikan pasukan itu antara pencabar kejuaraan yang paling digeruni musim ini.

 

Laura dan Gretel turut dinobatkan sebagai ‘Queen Of The Court’ bagi kedua-dua aksi pada minggu ini.

 

Lebih istimewa, Noramirah Dayana Noor Azhar, pemain pertahanan Johor Jewels membuat kemunculan semula selepas terpaksa berehat panjang akibat kecederaan serius yang dialaminya sejak April 2022. Kepulangan Nora disifatkan sebagai perjalanan panjang yang telah membuktikan disiplin dan komitmen juang tinggi kepada pasukan.

 

Saingan minggu ketiga NSL 2026 akan bersambung pada 1 hingga 3 Mei dengan Jewels akan bertemu Terengganu Marvels, Pahang Tulips dan KL Wildcats.

 

#JohorSafeZone
#JohorJewels
#NSL2026
#ReclaimTheCrown
#SukanMDJ
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor