JOHOR TIGERS PERKUKUH PASUKAN DEMI PIALA AGONG EDISI KE-42

Kesatuan Ragbi Johor memperkenalkan ‘Johor Tigers’ sebagai identiti baharu pasukan ragbi Johor bagi musim 2026. | Foto MDJ Nurina Aisyah

 

#JohorBahru – Kesatuan Ragbi Johor (JRU) secara rasminya memperkenalkan gelaran ‘Johor Tigers’ sebagai identiti baharu pasukan ragbi Johor untuk saingan musim 2026 termasuk Kejohanan Ragbi Piala Agong Edisi Ke-42.

 

Langkah ini bertujuan membina DNA baharu yang lebih kukuh, komited dan profesional dalam landskap ragbi negara, sekali gus memulakan aksi musim ini yang dijadualkan pada 9 Mei 2026 di Stadium Ragbi Johor, Mount Austin.

 

Johor Tigers memperkukuh skuad bagi Piala Agong 2026 dengan membawa masuk pemain import berprofil tinggi dan diundi dalam Kumpulan B bersama Putrajaya, Negeri Sembilan, Kedah, dan Angkatan Tentera Malaysia.

 

Tim Nanai-Williams, pemain antarabangsa Samoa disahkan menyertai Johor Tigers untuk saingan musim ini sebagai import utama. Kematangan beliau sebagai pemain profesional selama 16 tahun akan membawa pengalaman luas daripada dua edisi Piala Dunia Ragbi dan dijangka memperkuatkan pasukan Johor dari segi taktikal, kreativiti serta kepimpinan di posisi belakang.

 

Terdahulu, YB Mohd Hairi Mad Shah, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Johor hadir Majlis Sidang Media dan Pelancaran Pasukan Johor Piala Agong 2026 Edisi Ke-42 di Grand Paragon Hotel, Johor Bahru.

 

Turut hadir, YB Dato’ Haji Mohd. Noorazam Osman, Pegawai Kewangan Negeri Johor merangkap Presiden JRU dan Encik Hasnul Atmam Othman, Pengarah Majlis Sukan Negeri Johor.

 

#JohorSafeZone
#JohorRugbyUnion
#JohorTigers
#AgongCup2026
#SukanMDJ
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor