DYAM PEMANGKU SULTAN JOHOR ZAHIR RASA BANGGA TERHADAP PENCAPAIAN EKONOMI NEGERI

DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor berangkat menyempurnakan perasmian Mesyuarat Pertama (Pembukaan Rasmi) Bagi Penggal Persidangan Kelima Dewan Negeri Johor Yang Ke-15. | Foto MDJ Aisyah Mazalan

 

#IskandarPuteri – Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor menzahirkan rasa bangga terhadap pencapaian Negeri Johor yang terus mencatatkan prestasi memberangsangkan sepanjang tempoh empat tahun kebelakangan ini.

 

Baginda bertitah, sejak dilantik sebagai Pemangku Sultan Johor, keutamaan diberikan kepada usaha memperkukuh ekonomi, menjaga kebajikan rakyat, meningkatkan kualiti pendidikan, memperbaiki infrastruktur serta memperkasa sistem kesihatan demi memastikan Bangsa Johor dapat menikmati kehidupan yang lebih baik, stabil dan terjamin.

 

Dalam aspek ekonomi, Johor telah berjaya menarik pelaburan berjumlah RM272 bilion dalam tempoh empat tahun termasuk mencipta sejarah pada tahun 2025 apabila merekodkan RM110 bilion pelaburan, sekali gus menjadi pencapaian tertinggi yang pernah dicapai oleh mana-mana negeri di Malaysia.

 

Pencapaian tersebut secara tidak langsung telah membuka lebih 80,000 peluang pekerjaan kepada Bangsa Johor dan rakyat Malaysia, sekali gus memperkukuh asas ekonomi negeri secara menyeluruh.

 

Kejayaan tersebut turut didorong oleh pelaksanaan inisiatif strategik seperti inisiatif Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang menjadi pemangkin utama kepada peningkatan keyakinan pelabur serta pertumbuhan ekonomi negeri.

 

Selain itu, pendapatan hasil Negeri Johor juga terus menunjukkan peningkatan apabila mencecah RM2.6 bilion pada tahun 2025, mencerminkan kekuatan asas ekonomi serta kecekapan tadbir urus Kerajaan Negeri dalam mengurus sumber dan hasil secara berkesan.

 

Baginda Pemangku Sultan turut menzahirkan rasa syukur dan berharap momentum pertumbuhan ini akan terus diperkukuh agar Johor bukan sahaja kekal maju, malah muncul sebagai negeri contoh yang unggul, berdaya saing dan disegani di peringkat nasional serta serantau.

 

Terdahulu, Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor berangkat menyempurnakan perasmian Mesyuarat Pertama (Pembukaan Rasmi) Bagi Penggal Persidangan Kelima Dewan Negeri Johor Yang Ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, hari ini.

 

#WTN
#KuasaBesarBaharuEkonomi
#DewanNegeriJohorKe15
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor