DYAM TUNKU MAHKOTA ISMAIL MAHU KERAJAAN PERSEKUTUAN BERI PERHATIAN SERIUS TERHADAP PROJEK PENGANGKUTAN AWAM

DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor pada perasmian Mesyuarat Pertama (Pembukaan Rasmi) Bagi Penggal Persidangan Kelima Dewan Negeri Johor Yang Ke-15. | Foto MDJ Nurina Aisyah

 

#IskandarPuteri – Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor menegaskan pengukuhan sistem pengangkutan awam di Johor Bahru, khususnya membabitkan projek Sistem Transit Rel yang diintegrasikan dengan Projek Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru–Singapura perlu mendapat perhatian serius daripada Kerajaan Persekutuan.

 

Bagi memastikan ketersambungan yang lebih lancar serta mengurangkan kesesakan trafik rentas sempadan, Baginda Pemangku Sultan bertitah agar pihak Kerajaan Persekutuan dapat mempercepatkan segala pertimbangan dan kelulusan berkaitan agar pelaksanaan RTS dapat direalisasikan mengikut keperluan semasa.

 

Pembangunan sistem pengangkutan awam yang efisien penting bagi memastikan kesiapsiagaan Johor dalam menghadapi peningkatan pergerakan rakyat, sekali gus menyokong pertumbuhan ekonomi negeri dan kesejahteraan Bangsa Johor secara menyeluruh.

 

Selain itu, Baginda Pemangku Sultan turut menegaskan Johor merupakan antara penyumbang utama kepada hasil negara, namun pulangan yang diterima masih belum setimpal dengan keperluan pembangunan serta hal ehwal yang berkaitan dengan soal kebajikan rakyat di negeri ini.

 

Oleh itu, gesaan Baginda Pemangku Sultan agar sekurang-kurangnya 25 peratus daripada hasil cukai Johor dapat dipulangkan semula kepada negeri bagi membolehkan perancangan pembangunan dilaksanakan dengan lebih cekap tanpa bergantung kepada proses kelulusan yang panjang oleh Kerajaan Persekutuan.

 

Titah penegasan ini menzahirkan hasrat untuk memperkukuh kedudukan Johor sebagai negeri penyumbang ekonomi utama negara, di samping memastikan Kerajaan Negeri mampu bergerak lebih berdikari dalam memenuhi keperluan rakyat.

 

Terdahulu, Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor berangkat menyempurnakan perasmian Mesyuarat Pertama (Pembukaan Rasmi) Bagi Penggal Persidangan Kelima Dewan Negeri Johor Yang Ke-15 di Bangunan Sultan Iskandar, Kota Iskandar, hari ini.

 

#JohorSafeZone
#DewanNegeriJohor
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor