JOHOR PERUNTUK RM13.84 JUTA PERKASA BELIA, SOKONG USAHAWAN DAN ATLET

Kerajaan Negeri turut memperuntukkan RM4.6 juta kepada 922 persatuan belia berdaftar, dengan setiap persatuan menerima RM5,000 bagi memperkasa peranan belia sebagai pemacu pembangunan komuniti dan negeri. | Foto Arkib MDJ

 

#IskandarPuteri – Kerajaan Negeri terus memperkukuh pembangunan belia, sukan serta keusahawanan apabila sebanyak empat inisiatif di bawah portfolio Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi diumumkan menerusi Bantuan Kasih Johor (BKJ) Fasa Keempat dengan peruntukan RM13.84 juta.

 

Peruntukan terbesar melibatkan RM9 juta bagi bantuan tunai RM300 kepada 30,000 penjaja dan peniaga kecil berdaftar serta berlesen dengan Pihak Berkuasa Tempatan, sebagai sokongan langsung kepada kelangsungan ekonomi mikro dan usahawan kecil di peringkat akar umbi.

 

Selain itu, Kerajaan Negeri turut menyediakan bantuan RM1,000 kepada 30 atlet Sukan Malaysia (SUKMA) Johor yang melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi awam dan swasta, melibatkan peruntukan RM30,000 sebagai galakan kepada kecemerlangan sukan dan akademik.

 

Dalam usaha memperkukuh persiapan menghadapi SUKMA 2026 di Selangor pada Ogos nanti, seramai 1,056 jurulatih, atlet, pegawai dan urusetia menerima bantuan ‘one-off’ RM200 dengan peruntukan RM211,000 sebagai pengiktirafan terhadap peranan penting mereka dalam mengharumkan nama negeri.

 

Kerajaan Negeri turut memperuntukkan RM4.6 juta kepada 922 persatuan belia berdaftar, dengan setiap persatuan menerima RM5,000 bagi memperkasa peranan belia sebagai pemacu pembangunan komuniti dan negeri.

 

Inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Johor dalam memperkukuh ekosistem belia, sukan dan keusahawanan secara menyeluruh, sekali gus memastikan manfaat pembangunan negeri dapat dirasai oleh generasi muda dan penggerak ekonomi tempatan.

 

Semalam, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor mengumumkan pelaksanaan 22 inisiatif Bantuan Kasih Johor (BKJ) Fasa Keempat dengan nilai peruntukan RM138 juta yang bakal memanfaatkan lebih 600,000 Bangsa Johor, sekali gus membuktikan bahawa peningkatan hasil negeri terus disalurkan kembali kepada rakyat.

 

#JohorSafeZone
#BantuanKasihJohor
#BangsaJohorSejahtera
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor