JOHOR SIFARKAN 4,612 KETUA ISI RUMAH MISKIN TEGAR, PERKUKUH AGENDA KESEJAHTERAAN

DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor pada perasmian Mesyuarat Pertama (Pembukaan Rasmi) Bagi Penggal Persidangan Kelima Dewan Negeri Johor Yang Ke-15. | Foto MDJ Aisyah Mazalan

 

#IskandarPuteri – Kejayaan Kerajaan Johor menyifarkan 4,612 ketua isi rumah miskin tegar setakat 29 April tahun lalu menjadi bukti kepada keberkesanan pendekatan menyeluruh yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri dalam memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara.

 

Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor bertitah pencapaian itu amat membanggakan serta mencerminkan kesungguhan dan komitmen tinggi dalam membela nasib rakyat khususnya golongan yang memerlukan.

 

Baginda Pemangku Sultan turut menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan Negeri atas usaha berterusan dalam memastikan setiap Bangsa Johor mempunyai keperluan asas yang terjamin.

 

Namun demikian, Baginda Pemangku Sultan bertitah usaha tersebut tidak boleh terhenti di situ sahaja, sebaliknya ia perlu diteruskan dan diperkasa bagi mencapai sasaran sifar keseluruhan iaitu membabitkan kira-kira 6,500 golongan miskin di negeri ini, agar tiada rakyat yang tercicir daripada arus pembangunan.

 

Dalam pada itu, Baginda Pemangku Sultan turut bertitah, cabaran ekonomi semasa serta tekanan kos sara hidup yang semakin dirasai rakyat memerlukan pendekatan yang lebih proaktif dan berterusan bagi menyediakan sokongan kepada golongan memerlukan.

 

Justeru, Baginda Pemangku Sultan turut menzahirkan penghargaan atas pelaksanaan Bantuan Kasih Johor yang telah memanfaatkan lebih 550,000 Bangsa Johor tanpa mengira agama, keturunan mahupun latar belakang.

 

Baginda Pemangku Sultan juga berharap agar inisiatif berkenaan akan dapat terus diperkukuh dan diperluaskan bagi memastikan kesejahteraan rakyat terus menjadi keutamaan utama Kerajaan Negeri.

 

Terdahulu, Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor berangkat menyempurnakan perasmian Mesyuarat Pertama (Pembukaan Rasmi) Bagi Penggal Persidangan Kelima Dewan Negeri Johor Yang Ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, hari ini.

 

#WTN
#BangsaJohorSejahtera
#BantuanKasihJohor
#DewanNegeriJohorKe15
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor