JOHOR SERAGAMKAN SISTEM PARKIR DIGITAL MELALUI PARKMAX@JOHOR SECARA BERFASA

Pelaksanaan sistem itu akan diperluaskan secara berfasa ke PBT lain di seluruh negeri ini dengan tempoh peralihan disediakan bagi membolehkan pengguna menghabiskan baki kredit dalam aplikasi lama yang diguna pakai sebelum ini. | Foto MDJ Aisyah Mazalan
#IskandarPuteri – Kerajaan Johor kini memperkenalkan langkah penyelarasan sistem parkir digital di seluruh negeri ini menerusi penggunaan aplikasi Parkmax@JOHOR bagi mengurangkan kekeliruan rakyat yang sebelum ini terpaksa menggunakan pelbagai aplikasi berbeza mengikut kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
Langkah tersebut merupakan sebahagian daripada usaha besar Kerajaan Negeri untuk menyeragamkan sistem parkir digital yang telah tertangguh sejak sekian lama, selain memastikan urusan parkir menjadi lebih mudah, efisien dan mesra pengguna.
Sehingga kini, enam PBT telah menggunakan aplikasi Parkmax@JOHOR iaitu Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP); Majlis Perbandaran Kulai (MPKu); Majlis Perbandaran Muar (MPM); Majlis Perbandaran Segamat (MPS); Majlis Daerah Tangkak (MDT) dan Majlis Daerah Mersing (MDM).
Pelaksanaan sistem itu akan diperluaskan secara berfasa ke PBT lain di seluruh negeri ini dengan tempoh peralihan disediakan bagi membolehkan pengguna menghabiskan baki kredit dalam aplikasi lama yang diguna pakai sebelum ini.
Bagi pelaksanaan di kawasan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) pula, tempoh simulasi aplikasi berkenaan kini dilakukan selama sebulan bermula pada 1 hingga 31 Mei ini tanpa sebarang caj parkir bagi memberi ruang kepada rakyat menyesuaikan diri dengan sistem baharu sebelum pelaksanaan penuh bermula 1 Jun 2026.
Selain itu, pengguna aplikasi MBJBSpot yang masih mempunyai baki kredit boleh membuat tuntutan atau pengemaskinian kredit menerusi borang dalam talian atau hadir sendiri ke kaunter MBJB sehingga 31 Mei 2026.
Kerajaan Negeri turut memberi jaminan bahawa baki kredit sedia ada pengguna tidak akan terjejas dan proses migrasi sistem berkenaan akan dilaksanakan secara berperingkat serta teratur, sekali gus mencerminkan komitmen Kerajaan Johor dalam memastikan setiap pembaharuan yang dilaksanakan dapat memberi manfaat serta memudahkan urusan harian rakyat secara menyeluruh.
Terdahulu, YB Dato’ Mohd Jafni Md Shukor, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor menyampaikan ucapan penggulungan pada Mesyuarat Pertama (Pembukaan Rasmi) bagi Penggal Persidangan Kelima Dewan Negeri Johor Ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, hari ini.
#JohorSafeZone
#ParkmaxJohor
#DewanNegeriJohorKe15
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor



