JTDC BANTU 7,773 PENCARI KERJA DAPAT PEKERJAAN BERGAJI PREMIUM

Kadar kejayaan penempatan pekerjaan mencatatkan 45 peratus, mencerminkan keberkesanan inisiatif JTDC dalam membantu pencari kerja memperoleh pekerjaan selari dengan keperluan industri semasa. | Foto MDJ Aisyah Mazalan

 

#IskandarPuteri – Seramai 7,773 pencari kerja berjaya memperoleh pekerjaan menerusi inisiatif padanan kerjaya yang dilaksanakan oleh Majlis Pembangunan Bakat Johor (JTDC) bagi tempoh Januari hingga April tahun ini.

 

Pencapaian tersebut direkodkan hasil daripada usaha berterusan yang dilaksanakan oleh Kerajaan Johor dalam memperkukuh pembangunan modal insan di negeri ini, sekali gus memastikan lebih ramai pencari kerja mendapat akses kepada peluang pekerjaan yang berkualiti dan bergaji premium.

 

Bagi tempoh sama, sebanyak 17,436 pencari kerja telah direkodkan berdaftar menerusi platform padanan pekerjaan JTDC dengan 10,000 padanan calon berjaya dilaksanakan membabitkan kadar padanan sebanyak 57 peratus.

 

Usaha proaktif tersebut turut disokong menerusi kerjasama 219 majikan daripada pelbagai sektor industri termasuk bidang berteknologi tinggi dan pelaburan strategik yang kini sedang berkembang pesat di Johor.

 

Selain itu, kadar kejayaan penempatan pekerjaan pula mencatatkan 45 peratus, sekali gus mencerminkan keberkesanan inisiatif yang dilaksanakan JTDC dalam membantu pencari kerja memperoleh pekerjaan yang selari dengan kelayakan dan keperluan industri semasa.

 

Berikutan perkembangan itu, Kerajaan Johor menerusi JTDC turut menyasarkan penyediaan 100,000 peluang pekerjaan bergaji premium menjelang tahun 2030 sebagai sebahagian daripada agenda pembangunan ekonomi dan modal insan Negeri Johor.

 

Terdahulu, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi Menteri Besar Johor, menerima kunjungan hormat YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, Menteri Pendidikan Tinggi, di Pejabat JTDC, hari ini.

 

Pertemuan tersebut turut menjadi platform perbincangan berkaitan pembangunan modal insan serta penyelarasan pendidikan tinggi yang lebih selari dengan keperluan industri dan pelaburan strategik di Johor.

 

#JohorSafeZone
#JohorHomeOfChampions
#JohorTalentDevelopmentCouncil
#PekerjaanBergajiPremium
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor