JOHOR LANCAR SEMARAK SIHAT DI SELURUH 56 DUN

Kerajaan Johor memperkukuh agenda kesejahteraan rakyat menerusi pelaksanaan Program Semarak Sihat Johor di kesemua 56 DUN bagi meningkatkan kesedaran kesihatan dan menggalakkan amalan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat. | Foto MDJ Nurina Aisyah

 

#IskandarPuteri – Kerajaan Johor terus memperkukuh agenda kesejahteraan rakyat menerusi pelaksanaan Program Semarak Sihat Johor yang akan dilaksanakan di kesemua 56 kawasan Dewan Negeri Johor (DUN) di negeri ini.

 

Program yang dilancarkan secara rasmi itu merupakan antara agenda utama di bawah Belanjawan Johor 2026 bagi meningkatkan kesedaran rakyat terhadap kepentingan penjagaan kesihatan serta menggalakkan amalan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat di negeri ini.

 

Pelaksanaan Semarak Sihat Johor ini melibatkan peruntukan lebih RM650,000 dengan setiap Ahli Dewan Negeri (ADUN) akan menganjurkan program kesihatan di kawasan masing-masing.

 

Antara pengisian program termasuk pemeriksaan kesihatan, pendidikan pemakanan sihat, kesihatan mental, rehabilitasi serta pelbagai aktiviti gaya hidup sihat bagi memastikan setiap rakyat mendapat akses yang lebih dekat kepada perkhidmatan dan kesedaran kesihatan.

 

Pelaksanaan program berkenaan di kesemua 56 DUN ini mencerminkan komitmen Kerajaan Johor dalam usaha memperkukuh agenda kesihatan rakyat, seiring dengan pembangunan ekonomi dan infrastruktur negeri demi kesejahteraan Bangsa Johor.

 

Ia secara tidak langsung menterjemah usaha Kerajaan Negeri dalam memperluaskan agenda kesejahteraan rakyat dengan memberi fokus kepada aspek kesihatan demi memastikan Bangsa Johor terus menikmati kehidupan yang lebih sihat, aktif dan berkualiti.

 

Terdahulu, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor hadir menyempurnakan pelancaran Program Semarak Sihat Johor yang turut menghimpunkan lebih 1,800 peserta di Taman Merdeka, Johor Bahru.

 

#JohorSafeZone
#SemarakSihatJohor
#JohorSihat
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor