MAJLIS PECAH TANAH PUSAT LATIHAN BAHARU JDT

DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor berangkat merasmikan Majlis Pecah Tanah pembangunan Pusat Latihan Baharu Johor Darul Ta’zim (JDT) di Iskandar Puteri hari ini. | Foto MDJ Nurina Aisyah
#IskandarPuteri – Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor berangkat merasmikan Majlis Pecah Tanah bagi pembangunan Pusat Latihan Baharu milik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) di Iskandar Puteri, hari ini.
Turut mengiringi keberangkatan Baginda adalah Duli Yang Amat Mulia Tunku Iskandar Ibni Tunku Ismail, Raja Muda Johor.
Majlis bersejarah tersebut menandakan satu lagi langkah strategik dalam memperkukuh ekosistem sukan, khususnya bola sepak profesional kepada perancangan jangka masa panjang untuk menjadikan Johor sebagai hab pembangunan sukan bertaraf antarabangsa.
Pusat latihan baharu JDT yang akan dibangunkan di kawasan seluas 39 ekar ini terletak berhadapan dengan Stadium Sultan Ibrahim, bakal menjadi hab bersepadu bola sepak yang serba mega dan moden.
Dilengkapi dengan 12 padang latihan berkualiti tinggi, pusat latihan ini juga menempatkan stadium tertutup berkonsepkan logo JDT, pusat sains sukan, auditorium, gimnasium moden, penginapan pemain dan menggabungkan semua peringkat pasukan daripada skuad utama sehinggalah ke Akademi JDT.
Pembangunan ini juga mencerminkan visi strategik Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor selaku pemilik JDT dalam mentransformasikan JDT menjadi kuasa besar bola sepak yang diiktiraf dan berkembang sebagai kelab bola sepak profesional yang kompetitif di peringkat domestik dan antarabangsa.
Dengan segala fasiliti yang disediakan di pusat latihan baharu yang dijangka mengambil masa dua hingga tiga tahun untuk disiapkan, JDT terus komited dalam meningkatkan standard dan menetapkan penanda aras baharu bagi landskap bola sepak negara dan rantau Asia.
Turut hadir adalah YB Dato’ Mohammed Ridha Dato’ Abd. Kadir, Setiausaha Kerajaan Johor dan YB Dato’ Mohd Noorazam Dato’ Osman, Pegawai Kewangan Negeri Johor.
#JohorSafeZone
#JDTTrainingCentre
#WhatCanYouDo
#TheTMJeffect
#SukanMDJ
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


