TAMAN AWAM TELUK DANGA BAKAL JADI NADI REKREASI BANDAR JOHOR BAHRU

Taman Awam Teluk Danga akan terus diperkasa menerusi pembangunan Fasa 3 yang lebih moden dan mesra keluarga dengan penekanan terhadap aspek keselamatan, pencahayaan, landskap serta kemudahan awam bagi meningkatkan keselesaan pengunjung. | Foto FB Mohd Jafni Md Shukor

 

#IskandarPuteri – Taman Awam Teluk Danga akan terus diperkasa sebagai antara nadi rekreasi bandar utama di Johor Bahru menerusi perancangan pembangunan Fasa 3 yang lebih moden, tersusun dan mesra keluarga.

 

Pembangunan kawasan rekreasi bandar seluas 5.7 ekar itu akan memberi penekanan terhadap aspek keselamatan, pencahayaan, kemudahan awam, landskap serta kemudahan sokongan lain bagi memastikan keselesaan pengunjung sentiasa berada pada tahap terbaik.

 

Selain itu, beberapa cadangan penambahbaikan turut diberi perhatian termasuk penyediaan ruang aktiviti komuniti serta tarikan baharu yang mampu menghidupkan lagi kawasan berkenaan sebagai lokasi riadah bandar yang lebih aktif dan menarik kepada masyarakat.

 

Taman Awam Teluk Danga dilihat mempunyai potensi besar untuk terus berkembang sebagai ruang awam moden yang bukan sahaja menjadi tumpuan warga bandar raya Johor Bahru, malah mampu menjadi lokasi riadah mesra keluarga untuk dinikmati oleh pelbagai lapisan masyarakat.

 

Perancangan pembangunan Fasa 3 itu selaras dengan agenda Kerajaan Johor yang bukan sahaja memberi fokus terhadap pembangunan ekonomi negeri, malah memastikan rakyat turut menikmati ruang awam yang berkualiti, selesa dan selamat.

 

Pelaksanaan pembangunan tersebut juga mencerminkan komitmen Kerajaan Johor dalam memperkukuh pembangunan bandar yang lebih inklusif dan berorientasikan kesejahteraan rakyat demi manfaat Bangsa Johor.

 

Terdahulu, YB Dato’ Mohd Jafni Md Shukor, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor bersama YB Dato’ Mohd Haffiz Ahmad, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) meninjau sendiri suasana dan keadaan semasa di kawasan Taman Awam Teluk Danga, baru-baru ini.

 

#JohorSafeZone
#TamanAwamTelukDanga
#JohorBersih
#JohorSelamat
#NegeriPintar
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor