SURI RUMAH, PASANGAN BAHARU BERKAHWIN LEGA TERIMA BKJ

Wong Sung Yung, 31, dan Lin Qi Xin, 30, menyifatkan Bantuan Kasih Johor (BKJ) sebagai bukti keprihatinan Kerajaan Johor dalam membantu pasangan baharu berkahwin memulakan kehidupan berumah tangga. | Foto MDJ Nurina Aisyah

 

#SimpangRenggam – Penerima Bantuan Kasih Johor (BKJ) Fasa 4 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Layang-Layang menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri atas keprihatinan terhadap kebajikan dan kesejahteraan rakyat menerusi penyaluran bantuan tersebut.

 

Bagi V. Agilandam, 38, yang menerima BKJ bagi kategori Suri Rumah Tidak Bekerja memberitahu dirinya memilih untuk menjadi suri rumah sepenuh masa sejak lapan bulan lalu selepas mengetahui anak keduanya menghidap penyakit apendiks.

 

Beliau meluahkan rasa lega dan gembira selepas menerima bantuan berjumlah RM200 yang dapat membantu meringankan beban kewangan keluarga malah akan menggunakannya untuk menampung perbelanjaan persekolahan anak-anak.

 

Sementara itu, Nuraini Muhd Adi, 33, yang turut menerima BKJ bagi kategori sama bersyukur atas bantuan tunai RM200 yang sedikit sebanyak dapat meringankan beban kewangan suami yang bekerja sebagai pemandu estet selain mahu menggunakannya untuk membeli keperluan anak-anak yang masih kecil.

 

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri kerana cakna terhadap kebajikan suri rumah tidak bekerja sepertinya selain menyifatkan BKJ diterima sebagai pengiktirafan terhadap peranan penting golongan tersebut dalam membina institusi kekeluargaan yang sejahtera.

 

Manakala, Wong Sung Yung, 31, dan Lin Qi Xin, 30, yang menerima BKJ bagi kategori Pasangan Baharu Berkahwin Bukan Islam menyifatkan bantuan tersebut sebagai bukti keprihatinan Kerajaan Negeri dalam membantu pasangan yang baru memulakan kehidupan berumah tangga.

 

Kedua-dua penerima berkenaan turut memuji proses penyerahan BKJ yang dilaksanakan secara teratur hasil perancangan rapi pihak pengurusan, sekali gus memudahkan penerima mendapatkan bantuan tanpa perlu menunggu lama.

 

Untuk rekod, penyerahan BKJ Fasa 4 di DUN Layang-Layang secara keseluruhan melibatkan 1058 penerima bagi kedua-dua kategori sejak mula disalurkan pada 24 Mei lalu. Daripada jumlah tersebut, 120 merupakan penerima kategori Suri Rumah Tidak Bekerja manakala 80 lagi terdiri daripada Pasangan Baharu Berkahwin Bukan Islam yang menerima bantuan pada hari ini.

 

#JohorSafeZone
#BantuanKasihJohor
#BKJFasa4
#BangsaJohorSejahtera
#DUNLayangLayang
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor