AKSI DRAMATIK BAWA TEMASEK KE FINAL JSCPT 2026

Temasek kini menanti pemenang separuh akhir kedua antara Royal Johor dan JCorp untuk berentap di perlawanan akhir JSCPT 2026 dengan aksi kedua-dua pasukan boleh disaksikan secara langsung menerusi PoloLine.TV, petang ini bagi melengkapkan satu lagi slot ke perlawanan akhir. | Foto MDJ Aisyah Mazalan
#IstanaPasirPelangi – Temasek mencipta kebangkitan dramatik untuk menewaskan Korea Polo 10-9 menerusi golden goal dalam aksi separuh akhir Johor Super Crown Polo Tournament (JSCPT) 2026 yang berlangsung di Royal Johor Polo Club (RJPC), Istana Pasir Pelangi, hari ini.
Korea Polo bermula garang apabila David Ko meledak gol pembukaan sebelum Matias Mac Donough Jr. menggandakan kelebihan pasukan berkenaan, namun Temasek tidak berputus asa apabila mula bangkit memberikan tentangan menerusi Ignatius ‘Nachi’ du Plessis dan Alfonso ‘Alfon’ Pieres.
Persaingan semakin sengit apabila kedua-dua pasukan silih berganti menguasai permainan dengan Korea Polo kembali berada di depan, sebelum Temasek sekali lagi bangkit mengejar sehingga perlawanan memasuki chukka ketujuh.
Berbaki tiga minit permainan, Ignatius sekali lagi meletakkan Temasek di depan 9-8, namun Korea Polo tidak mengalah apabila Matias Mac Donough Jr. menyamakan kedudukan 9-9 menerusi pukulan penalti 30 ela pada minit terakhir perlawanan, sekali gus mengheret perlawanan ke masa tambahan.
Dalam aksi masa tambahan penuh debaran, Alfonso Pieres muncul sebagai wira Temasek apabila meledak jaringan ‘golden goal’, sekali gus mengesahkan kemenangan 10-9 dan membawa pasukannya ke perlawanan akhir JSCPT 2026.
Kemenangan penuh dramatik itu melengkapkan kebangkitan epik Temasek dalam kejohanan polo berhandikap tertinggi pernah dianjurkan di Malaysia ketika ini, yang menghimpunkan barisan pemain bertaraf dunia termasuk DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor.
Temasek kini menanti pemenang separuh akhir kedua antara Royal Johor dan JCorp untuk berentap di perlawanan akhir JSCPT 2026 dengan aksi kedua-dua pasukan boleh disaksikan secara langsung menerusi PoloLine.TV, petang ini bagi melengkapkan satu lagi slot ke perlawanan akhir.
#JohorSuperCrown2026
#PoloTournament2026
#RoyalJohorPoloClub
#LegacyInMotion
#SukanMDJ
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


