ZIARAH KASIH @ JOJ TANJUNG SURAT SUNTIK SEMANGAT PRIHATIN

YB Tuan Aznan Tamin, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor menyantuni salah seorang penerima bantuan Program Ziarah Kasih sempena JOJ Tanjung Surat. | Foto MDJ Aisyah Mazalan
#KotaTinggi – Semangat muafakat dan keprihatinan terhadap insan yang memerlukan terus dizahirkan menerusi Program Ziarah Kasih sempena Jelajah Orang Johor (JOJ) Tanjung Surat yang melibatkan kawasan FELDA Sening, FELDA Adela, FELDA Kledang dan FELDA Tunggal.
Program yang kini memasuki hari terakhir penganjurannya ini bukan sekadar penyerahan bantuan tetapi simbol komitmen berterusan terhadap warga setempat dalam memupuk semangat keprihatinan dan kebersamaan dalam komuniti di tanah rancangan tersebut.
Penduduk FELDA Adela, Maizatul Azila Abu Nor, 51, menzahirkan rasa syukur atas keprihatinan dan menyifatkan bantuan yang diterima pada hari ini secara tidak langsung dapat meringankan beban keluarganya.
Katanya, ini kerana beliau dan suami berhadapan dengan ujian kesihatan apabila dirinya telah disahkan mengidap kanser ovari tahap satu, manakala suaminya yang juga tulang belakang keluarga pula mengidap penyakit kencing manis yang agak serius.
Sementara itu, Abdul Rahman Mat Syah, 72, menyifatkan sumbangan ini sebagai tanda prihatin terhadap golongan yang memerlukan seperti dirinyanya, sekali gus dapat meringankan cabaran kos sara hidup harian yang semakin meningkat pada masa ini.
Beliau juga merupakan Ketua Blok 14 di FELDA Kledang memberitahu, sebelum ini sangat aktif dengan kerja-kerja kebajikan dan kemasyarakatan tetapi disebabkan kekangan kesihatan selepas kaki kanannya dipotong akibat kencing manis telah menyukarkan pergerakannya untuk kembali aktif.
Bagi, Saliza Muhamad, 47, turut mengucapkan jutaan terima kasih dan bersyukur kerana Program Ziarah Kasih seperti ini mampu membuka mata ramai pihak untuk turut sama membantu golongan yang memerlukan.
Katanya, bantuan seumpama ini sedikit sebanyak meringankan beban berat yang ditanggungnya, memandangkan beliau sekeluarga termasuk suami dan ibunya kini sedang bergelut dengan masalah kesihatan.
Terdahulu, YB Tuan Aznan Tamin, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor menyerahkan sumbangan kepada penerima bantuan bagi Program Ziarah Kasih di FELDA Sening, FELDA Adela, FELDA Kledang dan FELDA Tunggal hari ini.
#JohorSafeZone
#ZiarahKasih
#DUNTanjungSurat
#JOJTanjungSurat
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


