JOHOR TANGGUNG KOS RAWATAN ADIK HAIRA, OPERASI BURU ANJING LIAR DIPERGIAT

YB Tuan Mohd Fared Mohd Khalid, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor menziarahi Nur Haira Watikah dan keluarga di HSAJB. | Foto FB Mohd Fared Mohd Khalid
#IskandarPuteri – Kerajaan Johor melalui Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) akan menanggung keseluruhan kos rawatan dan pemulihan seorang kanak-kanak yang menerima rawatan di Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru (HSAJB) selepas diserang sekumpulan anjing liar di Kampung Tambak, Peserai, Batu Pahat.
Kerajaan Negeri turut menyampaikan sumbangan tunai RM1,000 kepada keluarga Nur Haira Watikah Mohammad Hamizi sebagai tanda keprihatinan bagi membantu meringankan beban yang ditanggung keluarganya.
Nur Haira Watikah difahamkan masih memerlukan rawatan rapi dan akan melalui proses pemulihan yang panjang, manakala pihak hospital turut menyediakan khidmat kaunseling serta sokongan berkaitan kepada ahli keluarga.
Pada masa sama, operasi menangkap anjing liar di kawasan berkenaan akan terus dipergiatkan oleh Pejabat Daerah bersama agensi-agensi berkaitan bagi menangani isu berkenaan yang menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat setempat.
Sebelum kejadian, beberapa siri operasi penangkapan anjing liar telah dilaksanakan oleh Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP) bersama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) pada 12, 26 dan 28 Ogos 2026.
Kerajaan Negeri mengakui masih banyak yang perlu dilakukan dan menyeru semua jabatan serta agensi terlibat supaya menggunakan kaedah tangkapan yang dibenarkan dan bersesuaian bagi memastikan usaha menangani masalah berkenaan dilaksanakan dengan lebih cepat dan berkesan.
Terdahulu, YB Tuan Mohd Fared Mohd Khalid, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor menziarahi Nur Haira Watikah dan keluarga di HSAJB, semalam.
#JohorSafeZone
#AnjingLiar
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


