HOSPITAL KLUANG PERKUKUH KAPASITI, TAMBAH 38 KATIL

Peningkatan kapasiti katil dan perkhidmatan kepakaran bagaimanapun masih berdepan kekurangan tenaga kerja apabila jumlah kakitangan masih belum ditambah seiring dengan peningkatan tersebut. | Foto FB Ah Soon
#IskandarPuteri – Hospital Enche’ Besar Hajjah Kalsom (HEBHK) di Kluang bakal memperkukuh kapasiti perkhidmatan kesihatannya menerusi penambahan 38 katil selepas kerja-kerja menaik taraf Wad 10B dijangka siap pada penghujung September ini.
Menerusi pertambahan fasiliti itu, kapasiti perkhidmatan kesihatan di hospital berkenaan dijangka akan meningkat daripada 396 kepada 434 katil bagi memenuhi keperluan perkhidmatan kesihatan kepada lebih 330,000 penduduk di daerah Kluang dan sekitarnya.
Pada masa sama, Wad 9B juga sedang dinaik taraf dengan kemudahan penghawa dingin sepenuhnya bagi meningkatkan kemudahan di hospital berkenaan.
Wad 10B yang sebelum ini masih belum mula beroperasi kini turut menjalani kerja-kerja naik taraf sebelum ia dibuka bagi menampung pertambahan keperluan katil di hospital.
Peningkatan kapasiti katil dan perkhidmatan kepakaran bagaimanapun masih berdepan kekurangan tenaga kerja apabila jumlah kakitangan masih belum ditambah seiring dengan peningkatan tersebut.
Sehubungan itu, perkara berkenaan akan dikemukakan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi memohon penambahan jawatan serta tenaga kerja kesihatan untuk HEBHK Kluang.
Kerajaan Negeri akan terus mengikuti perkembangan berkaitan permohonan pihak hospital bagi memastikan keperluan tenaga kerja diberi perhatian selaras dengan peningkatan kapasiti dan perkhidmatan yang disediakan.
Usaha memperkukuh kemudahan serta kapasiti HEBHK ini amat penting bagi memastikan perkhidmatan kesihatan kepada penduduk di daerah berkenaan dapat terus dipertingkatkan.
Terdahulu, YB Tuan Ling Tian Soon, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, mengadakan lawatan ke HEBHK Kluang bagi meninjau perkembangan kemudahan serta keperluan semasa di hospital berkenaan.
#JohorSafeZone
#SistemKesihatanJohor
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


