JMR CIPTA SEJARAH, TAMATKAN CABARAN LE MANS PADA PENAMPILAN SULUNG

Johor Motorsports Racing (JMR) mencipta sejarah apabila menamatkan perlumbaan ikonik 24 Jam Le Mans di Perancis pada penampilan sulungnya dengan meraih kedudukan ke-14 dalam kelas LMGT3. | Foto JOHOR Racing

 

#IskandarPuteri – Johor Motorsports Racing (JMR) melakar satu lagi sejarah baharu dalam sukan permotoran negara apabila berjaya menamatkan perlumbaan ikonik 24 Jam Le Mans di Perancis pada penampilan sulung pasukan itu di pentas berprestij dunia.

 

Pasukan milik YAM Tunku Abdul Rahman Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Panglima Johor berjaya menamatkan perlumbaan dalam kelas LMGT3 di kedudukan ke-14 selepas mengharungi cabaran perlumbaan ketahanan selama 24 jam.

 

YAM Tunku Abdul Rahman bersama pelumba profesional Ben Green dan Lorcan Hanafin memainkan peranan penting mengemudi jentera Chevrolet Corvette Z06 GT3.R melepasi garisan penamat dalam perlumbaan yang menyaksikan hampir satu pertiga peserta kelas LMGT3 gagal menamatkan saingan.

 

Walaupun memulakan perlumbaan dari kedudukan ke-24, JMR berjaya mempamerkan prestasi kompetitif apabila beberapa kali berada dalam kelompok lima terbaik hasil pemanduan cemerlang serta strategi pit yang berkesan.

 

Pasukan itu bagaimanapun berdepan cabaran teknikal membabitkan kotak gear pada pertengahan perlumbaan yang menyebabkan kehilangan empat pusingan sebelum bangkit memperbaiki kedudukan sehingga menamatkan saingan di tangga ke-14.

 

Kejayaan melengkapkan perlumbaan tersebut menjadi pencapaian yang bermakna buat JMR dalam penampilan pertama mereka di pentas Le Mans, selain membuka lembaran baharu kepada perkembangan sukan permotoran Johor di peringkat antarabangsa.

 

JMR kini akan meneruskan cabaran seterusnya apabila dijadual menyertai CrowdStrike 24 Hours of Spa di Belgium dalam tempoh dua minggu akan datang.

 

#JohorSafeZone
#SukanMDJ
#JohorMotorsportsRacing
#24HoursofLeMans2026
#JohorHomeOfChampions
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor