FHMAPK 2026 PLATFORM MENGANGKAT INSTITUSI MUZIUM

YB Datuk Aaron Ago Dagang, Menteri Perpaduan Negara diiringi YB Dato’ Haji Ismail Haji Abu, Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Pengurusan) selaku wakil rasmi Setiausaha Kerajaan Johor menyempurnakan Majlis Perasmian FHMAPK 2026 di Padang Akasia, Pusat Beli-Belah Angsana, Johor Bahru. | Foto MDJ Aisyah Mazalan
#JohorBahru – Penganjuran Festival Hari Muzium Antarabangsa Peringkat Kebangsaan 2026 (FHMAPK) yang diadakan di Johor kali ini dilihat menjadi platform terbaik dalam usaha memperkasa dan mengangkat martabat institusi muzium ke tahap yang lebih tinggi khususnya di negeri ini.
Festival yang bertemakan ‘Muzium Menyatukan Dunia Yang Terpisah’ ini melibatkan 36 institusi dan agensi muzium peringkat negeri serta Persekutuan, selain penyertaan 12 institusi muzium antarabangsa dan lebih 1,000 kontingen dari seluruh negara bagi mempamer dan mendekatkan masyarakat dengan khazanah warisan negara secara inklusif dan interaktif.
FHMAPK 2026 yang berlangsung dari 23 hingga 28 Jun ini, sejajar dengan aspirasi Tahun Melawat Johor 2026 yang mensasarkan 12 juta pelancong ke negeri ini. Selain itu, penganjuran festival edisi kali ini turut menyasarkan kehadiran seramai 125,000 pengunjung, sekali gus memperkukuh kedudukan Johor sebagai destinasi pelancongan warisan dan budaya di peringkat global.
Sementara itu, FHMAPK 2026 turut menampilkan pelbagai pengisian menarik seperti pameran muzium, persembahan kebudayaan, Jerayawara Warisan, bengkel permuziuman, aktiviti interaktif keluarga, pertandingan tradisional, program komuniti, sukan rakyat, demonstrasi gastronomi serta persembahan daripada artis terkenal tanah air.
Terdahulu, YB Datuk Aaron Ago Dagang, Menteri Perpaduan Negara menyempurnakan Majlis Perasmian FHMAPK 2026 di Padang Akasia, Pusat Beli-Belah Angsana, Johor Bahru.
Turut hadir ialah YB Dato’ Haji Ismail Haji Abu, Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Pengurusan) selaku wakil rasmi Setiausaha Kerajaan Johor; YBhg. Dato’ Haslina Abdul Hamid, Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara; YBhg. Datuk Kamarul Baharin A. Kassim, Ketua Pengarah Muzium Malaysia.
Hadir sama ialah YB Dato’ Dr. Kassim Thukiman, Ahli Penasihat Jumaah Majlis Diraja Johor serta YBrs. Encik Nor Syazlan Abd Razak, Pengarah Yayasan Warisan Johor (YWJ).
#JohorSafeZone
#FHMAPK2026
#VisitJohor2026
#MehLahJohor
#YayasanWarisanJohor
#MemeliharaWarisanBudaya
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


