SPR, PTNJ BERGANDING BAHU PULIHARA HUTAN PAYA BAKAU TANJUNG PIAI

SPR dan PTNJ menjayakan Program CSR penanaman 100 anak pokok paya bakau di Taman Negara Johor Tanjung Piai, Pontian sebagai usaha memelihara ekosistem pantai dan habitat semula jadi. | Foto FB Johor National Parks
#IskandarPuteri – Komitmen memelihara khazanah alam sekitar terus diperkukuh apabila Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bersama Perbadanan Taman Negara Johor (PTNJ) menjayakan Program Penanaman Pokok Paya Bakau dan Pembersihan Kawasan Hutan Paya Bakau di Taman Negara Johor Tanjung Piai, Pontian.
Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) itu melibatkan penanaman sebanyak 100 anak pokok paya bakau di kawasan pesisir Taman Negara Johor Tanjung Piai sebagai antara usaha dalam memperkukuh ekosistem pantai, mengurangkan hakisan, meningkatkan habitat semula jadi hidupan liar.
Selain itu, peserta program yang membabitkan seramai 40 orang turut melaksanakan aktiviti pembersihan kawasan hutan paya bakau dan hasilnya sebanyak 17 kilogram sampah hanyut berjaya dikutip.
Kerjasama antara SPR dan PTNJ ini turut memperkukuh agenda pemuliharaan biodiversiti di Johor, di samping menyokong aspirasi Tahun Melawat Johor 2026 menerusi pemeliharaan aset flora dan fauna serta pembangunan ekopelancongan negeri.
Hutan paya bakau seumpama ini bukan sahaja berfungsi sebagai benteng semula jadi yang melindungi kawasan pesisir daripada hakisan dan ombak besar, malah ia juga turut menjadi habitat penting kepada pelbagai spesies hidupan serta penyerap karbon yang membantu menangani perubahan iklim.
Terdahulu, turut hadir dalam program berkenaan ialah YBhg. Tuan Sufian Suleiman, Pengarah PTNJ; YBhg Tuan Haji Nor Nekman Jaimon, Pengarah SPR Negeri Johor serta YBhg. Tuan Abdul Azim Shamsuddin, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Pontian (MPPn).
#JohorSafeZone
#SPR
#PTNJ
#TamanNegaraTanjungPiai
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


