KERAJAAN JOHOR MOHON TAMBAHAN PETUGAS KESIHATAN DI HSA

YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor, mengadakan lawatan ke HSAJB bagi meninjau keadaan semasa Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru (HSAJB). | Foto FB Onn Hafiz Ghazi
#IskandarPuteri – Kerajaan Johor memohon pertimbangan segera daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) supaya isu mengenai kekurangan petugas kesihatan di Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru (HSAJB) perlu diberi keutamaan bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada Bangsa Johor terus berjalan dengan baik.
Isu kekurangan petugas kesihatan di HSAJB perlu diberi perhatian segera memandangkan hospital itu merupakan antara pusat rujukan utama yang kini telah menerima ribuan pesakit dari seluruh Johor setiap hari, ujar YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor.
Kerajaan Negeri bagaimanapun turut menzahirkan penghargaan kepada seluruh petugas barisan hadapan kesihatan yang terus berkhidmat walaupun berdepan dengan beban tugas yang tinggi, di samping menegaskan akan terus berusaha mencari jalan penyelesaian terbaik bagi membantu meringankan beban yang ditanggung oleh pasukan kesihatan berkenaan.
Selain itu, pelbagai usaha sedang dilaksanakan bagi mengatasi isu kesesakan antaranya membabitkan proses pemindahan sementara Jabatan Kecemasan dan Trauma (JKT) ke Pusat Bersalin dan Labor & Delivery (L&D) yang akan bermula pada awal Ogos ini bagi membolehkan kerja-kerja naik taraf sistem elektrik dilaksanakan dengan selamat.
Pada masa sama, projek menaik taraf bekalan utama elektrik serta sistem elektrikal dan mekanikal hospital bernilai hampir RM159 juta, selain beberapa penambahbaikan lain juga sedang giat dilaksanakan bagi memastikan HSA terus berupaya menyediakan perkhidmatan yang lebih selamat dan berkualiti kepada Bangsa Johor.
Terdahulu, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor, mengadakan lawatan ke HSAJB bagi meninjau keadaan semasa hospital berkenaan, selain turut mendengar taklimat mengenai pelbagai usaha penambahbaikan yang sedang dilaksanakan bagi memastikan perkhidmatan kesihatan kepada Bangsa Johor terus dipertingkatkan.
#JohorSafeZone
#HSAJB
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


