SRBJ BAKAL DIPERLUAS KE SELURUH DAERAH MENJELANG 2031

Transformasi Sekolah Rintis Bangsa Johor (SRBJ) akan diperluaskan ke seluruh daerah menjelang 2031 sebagai komitmen Kerajaan Johor memperkasa pendidikan dan melahirkan generasi Bangsa Johor berdaya saing. | Foto MDJ Nurina Aisyah

 

#JohorBahru – Selepas lebih setahun kejayaan pelaksanaan Sekolah Rintis Bangsa Johor (SRBJ) diperkenalkan hasil daripada cetusan ilham DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor, transformasi pendidikan terbabit kini akan diperluaskan ke seluruh daerah di negeri ini menjelang 2031, sekali gus memperkukuh sistem pendidikan di Johor.

 

Pelaksanaan inisiatif itu adalah sebahagian daripada komitmen berterusan Kerajaan Negeri dalam memperkasakan sektor pendidikan di negeri ini dan ia akan dilaksanakan secara berfasa dalam tempoh lima tahun sebagai antara usaha untuk melahirkan generasi Bangsa Johor yang berdaya saing di peringkat nasional dan global.

 

Pembangunan SRBJ secara menyeluruh ini juga akan turut menjadi asas kepada proses transformasi pendidikan negeri menerusi pembangunan modal insan yang berilmu, berkemahiran, berakhlak mulia serta memiliki daya saing tinggi.

 

Sehingga kini, SRBJ telah dilaksanakan di empat sekolah rintis iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Tasek Utara, SK Seri Kota Puteri 4, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tasek Utara dan SMK Seri Kota Puteri 2, dengan sasaran utama untuk meletakkan sekolah-sekolah berkenaan dalam kelompok 20 sekolah harian terbaik di Malaysia menjelang 2031.

 

Walaupun baru memasuki tahun pertama pelaksanaannya, SRBJ kini telah menunjukkan perkembangan yang amat positif menerusi pelbagai pencapaian dalam aspek akademik, inovasi dan pembangunan murid, sekali gus merealisasikan aspirasi untuk melahirkan generasi Bangsa Johor yang berilmu serta mampu bersaing di peringkat global.

 

Terdahulu, YB Dr. Muhammad Naqib Md Ghazali, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor mengadakan lawatan ke SRBJ di SK Seri Kota Puteri 4 dan SMK Seri Kota Puteri 2, Pasir Gudang, hari ini.

 

#JohorSafeZone
#PendidikanBangsaJohor
#SekolahRintisBangsaJohor
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas