PEGAWAI DAERAH MAINKAN PERANAN PERKUKUH AGENDA JETP

Setiap Pegawai Daerah perlu mengenal pasti, memperkasa dan memanfaatkan kekuatan tersebut bagi menyokong agenda JETP serta memastikan setiap peluang pembangunan ini akan dapat diterjemahkan kepada manfaat untuk rakyat. | Foto Pejabat Setiausaha Kerajaan Johor
#IskandarPuteri – Semua Pegawai Daerah di seluruh Johor perlu memainkan peranan lebih proaktif dalam memperkukuh pelaksanaan Pelan Transformasi Ekonomi Johor (JETP) dengan memanfaatkan kekuatan dan potensi yang dimiliki setiap daerah di negeri ini.
Ini kerana setiap daerah di Johor sememangnya mempunyai kelebihan tersendiri sama ada dalam sektor perindustrian, pelaburan, pertanian, pelancongan, logistik, ekonomi digital mahupun sumber tempatan yang berpotensi untuk menjadi pemacu pertumbuhan ekonomi negeri.
Justeru, setiap Pegawai Daerah perlu mengenal pasti, memperkasa dan memanfaatkan kekuatan tersebut bagi menyokong agenda JETP serta memastikan setiap peluang pembangunan ini akan dapat diterjemahkan kepada manfaat untuk rakyat.
Pelaksanaan JETP tidak seharusnya dilihat sebagai sebuah pelan semata-mata, sebaliknya ia perlu diterjemahkan kepada tindakan yang mampu menarik pelaburan, mewujudkan peluang pekerjaan dan merancakkan pertumbuhan ekonomi di seluruh Johor.
Pada masa sama, Pegawai Daerah turut diingatkan supaya sentiasa turun padang bagi memahami keadaan sebenar di lapangan, mendengar denyut nadi rakyat dan memastikan setiap isu di peringkat daerah dapat ditangani secara segera, teratur serta berkesan.
Justeru, semua jabatan dan agensi di daerah juga perlu dipimpin sebagai satu pasukan yang perlu bergerak secara bersepadu agar setiap dasar serta keputusan Kerajaan Negeri dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan demi kesejahteraan Bangsa Johor.
Selain itu, sebarang isu penting yang berpotensi menjejaskan keselamatan, kesejahteraan rakyat atau imej Kerajaan Negeri perlu dimaklumkan dengan segera supaya tindakan awal dapat diambil sebelum keadaan menjadi lebih rumit.
Terdahulu, amanat tersebut disampaikan YB Dato’ Mohammed Ridha Dato’ Abd. Kadir, Setiausaha Kerajaan Johor pada Majlis Perjumpaan bersama Pegawai-Pegawai Daerah Negeri Johor yang bertujuan menyelaras pelaksanaan dasar, memperkukuh pentadbiran serta meningkatkan keberkesanan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
#JohorSafeZone
#JETP
#JohorHomeOfChampions
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


