JOHOR PERCEPAT PERKHIDMATAN PBT, LESEN PERNIAGAAN DISASAR SIAP 24 JAM

YB Dato’ Mohd Jafni Md Shukor, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor menyampaikan amanat kepada barisan kepimpinan dan warga kerja 16 PBT serta SUK BKT sebagai medan menilai pencapaian, memperkemas gerak kerja dan menetapkan hala tuju supaya setiap dasar, projek dan perkhidmatan kerajaan tempatan dapat dilaksanakan dengan pantas serta memberi kesan langsung kepada kehidupan Bangsa Johor. | Foto FB Mohd Jafni Md Shukor
#IskandarPuteri – Kerajaan Johor kini menetapkan sasaran untuk mempercepatkan penyampaian perkhidmatan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) khususnya membabitkan urusan kelulusan lesen perniagaan tidak berisiko dalam tempoh 24 jam, selain pembaharuan lesen dalam tempoh satu jam.
Inisiatif itu antara fokus utama yang akan dilaksanakan oleh Kerajaan Tempatan Negeri Johor bagi tempoh tahun 2027 hingga 2031 dalam usaha memudahkan urusan rakyat, peniaga dan komuniti perniagaan di seluruh negeri ini.
Selain itu, pengecualian bayaran lesen perniagaan bagi tahun pertama turut disasarkan kepada golongan penjaja dan peniaga kecil sebagai langkah untuk mengurangkan beban golongan berkenaan khususnya bagi mereka yang memulakan perniagaan.
Pendekatan berkenaan turut disokong menerusi usaha pendigitalan perkhidmatan PBT bagi memastikan urusan rakyat dapat dilaksanakan dengan lebih mudah, pantas dan cekap.
Antara fokus lain yang akan diperluaskan ialah penggunaan Smart CCTV, Smart Traffic Light serta Sistem Pengurusan Aduan Johor atau MyAduan Johor ke semua 16 PBT secara berfasa.
Pada masa sama, pelaksanaan transformasi perkhidmatan PBT ini turut mengambil kira keperluan bagi memperkemas sistem penyampaian supaya setiap urusan dapat diselesaikan mengikut tempoh yang telah ditetapkan serta mampu memberi pengalaman perkhidmatan yang lebih baik kepada rakyat.
Usaha itu selaras dengan hala tuju Kerajaan Johor untuk memastikan PBT bukan sahaja berperanan dalam pengurusan bandar dan perkhidmatan asas, malah menjadi pemudah cara kepada aktiviti ekonomi serta pembangunan komuniti setempat.
Dalam perkembangan sama, sebanyak 69 projek melibatkan 16 PBT dan Bahagian Kerajaan Tempatan turut dipantau, dengan 33 projek telah siap, 25 projek sedang dilaksanakan manakala 11 projek lagi masih dalam proses kelulusan.
Antara projek yang kini memasuki fasa akhir ialah kerja naik taraf Bangunan Sultan Ibrahim di Bukit Timbalan dan penyelesaian banjir Kampung Mohd Amin yang disasarkan siap pada 30 Ogos 2026, manakala sistem perparitan Jalan Dato’ Sulaiman dijangka siap pada 14 Ogos 2026.
Terdahulu, YB Dato’ Mohd Jafni Md Shukor, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor menyampaikan amanat kepada barisan kepimpinan dan warga kerja 16 PBT serta SUK BKT sebagai medan menilai pencapaian, memperkemas gerak kerja dan menetapkan hala tuju supaya setiap dasar, projek dan perkhidmatan kerajaan tempatan dapat dilaksanakan dengan pantas serta memberi kesan langsung kepada kehidupan Bangsa Johor.
#JohorSafeZone
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


