JOHOR SALUR RM226,000 TINGKAT INFRASTRUKTUR SJKT JALAN YAHYA AWAL

YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor menyantuni pelajar Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Jalan Yahya Awal, Johor Bahru ketika mengadakan lawatan ke sekolah berkenaan baru-baru ini. | Foto FB Onn Hafiz Ghazi
#IskandarPuteri – Kerajaan Johor meluluskan dan menyalurkan sebanyak RM226,000 bagi tujuan menyokong penambahbaikan infrastruktur serta aktiviti pendidikan di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Jalan Yahya Awal, Johor Bahru.
Peruntukan itu merangkumi RM26,000 yang telah disalurkan sebelum ini bagi menyokong keperluan sekolah serta RM200,000 peruntukan baharu untuk kerja-kerja penambahbaikan infrastruktur di sekolah berkenaan.
Antara kerja yang akan dilaksanakan ialah pembaikan pam sistem kumbahan serta pembinaan pagar di kawasan yang belum berpagar bagi meningkatkan keselamatan persekitaran sekolah.
Peruntukan berkenaan turut melibatkan penggantian pemegang tangan tangga yang berkarat di Blok A dan Blok B kepada pemegang tangan keluli tahan karat, selain pembaikan bumbung dewan dan laluan berbumbung.
Pemasangan pagar di kawasan padang sekolah turut dilaksanakan bagi mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih selamat, selesa dan kondusif untuk warga sekolah.
SJKT Jalan Yahya Awal kini menempatkan seramai 900 murid dengan sokongan 54 guru, sekali gus menjadi antara institusi pendidikan penting dalam komuniti setempat.
Kerajaan Johor akan terus memberi perhatian kepada keperluan sekolah dan institusi pendidikan di negeri ini tanpa mengira kaum atau latar belakang bagi memastikan setiap anak Johor mendapat peluang pendidikan serta persekitaran pembelajaran yang berkualiti dan sempurna.
Usaha berkenaan mencerminkan komitmen untuk memastikan setiap anak Bangsa Johor mendapat sokongan sewajarnya bagi menimba ilmu, mengembangkan potensi serta membina masa depan yang lebih baik.
#JohorSafeZone
#PendidikanBangsaJohor
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


