KERAJAAN JOHOR PERKASA SOKONGAN PSIKOSOSIAL SUSULAN INSIDEN LEMAS DUA MURID DI PASIR GUDANG

YB Dr. Muhammad Naqib Md Ghazali, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor memaklumkan JPNJ mengambil langkah segera bagi membantu keluarga dan warga sekolah terkesan susulan insiden lemas di Taman Scientex, Pasir Gudang, termasuk melalui intervensi psikososial mengikut keperluan.
#IskandarPuteri – Kerajaan Johor menerusi Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) mengambil inisiatif dengan melaksanakan langkah segera bagi memastikan kebajikan keluarga serta warga sekolah yang terkesan susulan insiden lemas membabitkan dua murid di Taman Scientex, Pasir Gudang, baru-baru ini terus diberi perhatian yang sewajarnya.
Kerajaan Negeri juga turut menzahirkan ucapan takziah serta rasa simpati yang mendalam kepada keluarga Allahyarham Muhammad Adam Farish Arman, 11 dan Allahyarham Mohammad Haikal Ramzi, 12, susulan kehilangan kedua-dua murid berkenaan dalam insiden berkenaan.
Selain itu, intervensi psikososial menerusi Unit Bimbingan dan Kaunseling JPNJ turut akan dilaksanakan mengikut keperluan bagi membantu murid dan warga sekolah terkesan menghadapi situasi berkenaan, jelas YB Dr. Muhammad Naqib Md Ghazali, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor.
Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Pasir Gudang juga akan memantau perkembangan kes dari semasa ke semasa dan mendapatkan maklumat serta pengesahan rasmi berkaitan hasil siasatan daripada pihak berkuasa melalui pihak sekolah.
Kerajaan Johor turut mengingatkan ibu bapa dan penjaga supaya sentiasa mengambil perhatian terhadap setiap aktiviti anak-anak, khususnya ketika berada di kawasan yang mempunyai risiko keselamatan seperti tasik, lombong, empangan, kawasan air yang tidak ditetapkan atau diklasifikasikan untuk sebarang aktiviti rekreasi.
Langkah berkenaan amat penting bagi memastikan aspek keselamatan dan kebajikan murid sentiasa menjadi keutamaan, selain ia dapat mengurangkan risiko kejadian tidak diingini apabila anak-anak berada di luar pengawasan.
#JohorSafeZone
#SekolahSelamat
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


