SUMBANGAN SMART TV PACU PENDIDIKAN DIGITAL DI 10 SEKOLAH DAERAH PONTIAN

YB Dr. Muhammad Naqib Md Ghazali, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor pada Program Sumbangan Smart TV dan Keperluan Persekolahan Bangsa Johor di SK Batu 24, Pekan Nanas, Pontian. | Foto MDJ Aisyah Mazalan
#Pontian – Kerajaan Johor menerusi Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ) terus mempergiat usaha memperkasa pendidikan digital di negeri ini dengan menyalurkan sumbangan televisyen pintar (smart tv) kepada 10 sekolah di sekitar daerah Pontian bagi menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang lebih interaktif serta dinamik.
Penyerahan sumbangan Smart TV ini melibatkan Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Benut; SK Seri Semangat; SK Ayer Baloi; SK Batu 24; SK Pengkalan Raja; SK Parit Patah; SK Seri Bunian; SK Andek Mori; SK Pontian Besar dan SK Seri Sinaran Chokoh dengan setiap sekolah menerima satu unit smart tv yang berukuran 75 inci.
Bagi YBhg Encik Bachok Ibrahim, Guru Besar SK Batu 24, Pontian memberitahu, sumbangan peralatan ini secara tidak langsung dapat menarik minat murid terhadap kaedah PdP berasaskan teknologi serta membuka peluang kepada mereka untuk menikmati pengalaman pembelajaran yang lebih berkualiti selaras dengan perkembangan teknologi pendidikan masa kini.
Katanya, penggunaan smart tv dalam sesi PdP ini juga akan membolehkan kandungan buku teks dipaparkan secara lebih interaktif kepada murid, sekali gus meningkatkan keberkesanan serta menarik minat mereka untuk mengikuti proses pembelajaran di dalam bilik darjah.
Selain sumbangan smart tv tersebut, bantuan keperluan persekolahan turut diberikan kepada murid khususnya daripada keluarga berpendapatan rendah (B40) di 20 sekolah di daerah berkenaan bagi meringankan beban keluarga dalam menyediakan keperluan persekolahan anak-anak.
Terdahulu, YB Dr. Muhammad Naqib Md Ghazali, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor menyempurnakan Program Sumbangan Smart TV dan Keperluan Persekolahan Bangsa Johor di SK Batu 24, Pekan Nanas, Pontian.
#JohorSafeZone
#JPNJ
#YSIJ
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


