BBAJ 2026 TERIMA PENGIKTIRAFAN REKOD ASEAN DAN ASIA

YB Dr. Muhammad Naqib Md Ghazali, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor menyempurnakan Majlis Perasmian BBAJ 2026 di Pusat Beli-belah Paradigm Mall Johor Bahru.
#JohorBahru – Bazar Buku Antarabangsa Johor (BBAJ) 2026, inisiatif Kerajaan Negeri menerusi Perbadanan Perpustakaan Awam Johor (PPAJ) melakar sejarah apabila menerima pengiktirafan sebagai bazar buku antarabangsa pertama seumpamanya di ASEAN dan Asia.
Menyasarkan kehadiran 500,000 pengunjung sepanjang penganjuran dari 21 hingga 25 Ogos ini, BBAJ menjadi platform kepada Bangsa Johor mendekati karya, penulis, penerbit serta industri perbukuan dalam dan luar negara.
Kerajaan Negeri memperuntukkan RM400,000 bagi menjayakan edisi kali ini yang turut membuka ruang pemasaran dan jualan kepada pemain industri, selain memperkenalkan perkembangan semasa dunia penerbitan antarabangsa kepada pengunjung.
Mengangkat konsep ‘Traditional Pavilion’, BBAJ 2026 menghimpunkan 85 pempamer dari Malaysia, Indonesia, Filipina, Singapura, Turki, United Kingdom, China dan India sekali gus menyemarakkan budaya membaca serta memperkukuh ekosistem perbukuan khususnya di Johor.
Antara tarikan utama ialah penyertaan Republik Indonesia sebagai Negara Tamu yang menjadi wadah mempererat hubungan budaya dan perbukuan antara Johor dengan negara berkenaan, selain pelancaran dua buku iaitu ‘Meh Lah Johor’ dan ‘Antologi Puisi & Ilustrasi Tokoh Sejori’ terbitan Kolej Universiti Selatan.
Terdahulu, YB Dr. Muhammad Naqib Md Ghazali, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor menyempurnakan Majlis Perasmian BBAJ 2026 di Pusat Beli-belah Paradigm Mall Johor Bahru.
#JohorSafeZone
#PPAJ
#BazarBuku
#BBAJ2026
#BudayaMembacaAmalanMulia
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor



