ENAM AMBULANS BANTU PERKUKUH PERKHIDMATAN KESIHATAN NEGERI

YB Tuan Ling Tian Soon, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, mewakili Kerajaan Negeri Johor, menyerahkan ambulans baharu kepada Klinik Kesihatan Sungai Mati serta menerima taklimat berhubung keperluan dan keadaan semasa fasiliti berkenaan. | Foto YB Ling Tian Soon
#IskandarPuteri – Sebanyak enam ambulans telah disumbangkan bagi memperkukuh perkhidmatan kesihatan di Johor, terdiri daripada empat ambulans sumbangan Kerajaan Negeri Johor dan dua ambulans lagi sumbangan PIJ Holdings Sdn. Bhd.
Empat ambulans sumbangan Kerajaan Negeri Johor itu disalurkan kepada fasiliti kesihatan di Kota Tinggi, Sungai Mati, Tangkak, Semerah, Batu Pahat dan Mersing, manakala dua ambulans sumbangan PIJ Holdings diserahkan kepada Hospital Sultanah Aminah (HSA).
Antara fasiliti yang sudah menerima ambulans baharu ialah Klinik Kesihatan Sungai Mati, Tangkak bagi memenuhi keperluan perkhidmatan kecemasan yang tinggi, khususnya bagi penduduk sekitar daerah berkenaan.
Klinik berkenaan merupakan antara fasiliti kesihatan tersibuk di daerah Tangkak dan sebelum ini hanya mempunyai sebuah ambulans yang mula mengalami masalah kerosakan, sekali gus menjadikan penambahan ambulans baharu berkenaan amat penting bagi memastikan perkhidmatan kecemasan dapat diberikan dengan lebih baik.
Selain penyerahan ambulans, Kerajaan Negeri turut memberi perhatian kepada kebajikan warga kesihatan apabila pantri kakitangan Klinik Kesihatan Sungai Mati turut menerima peruntukan RM5,000 sebanyak dua kali yang dimanfaatkan bagi menaik taraf ruang berkenaan menjadi tempat rehat yang lebih selesa.
Kerajaan Negeri akan terus memberi perhatian terhadap keperluan fasiliti kesihatan termasuk kemudahan yang memerlukan pembaikan atau penggantian bagi memastikan kualiti perkhidmatan kepada rakyat dapat terus dipertingkatkan.
Usaha memperkukuh kemudahan kesihatan ini turut mencerminkan komitmen berterusan dalam menyokong warga kesihatan yang melaksanakan tanggungjawab memberikan perkhidmatan kepada masyarakat.
Terdahulu, YB Tuan Ling Tian Soon, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, mewakili Kerajaan Negeri Johor, menyerahkan ambulans baharu kepada Klinik Kesihatan Sungai Mati serta menerima taklimat berhubung keperluan dan keadaan semasa fasiliti berkenaan.
#JohorSafeZone
#SistemKesihatanJohor
#AmbulansMajuJohor
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


