OPERASI PEMBENIHAN AWAN BANTU HASILKAN HUJAN DI KAWASAN TADAHAN EMPANGAN DI JOHOR

Pada 22 September lalu, operasi OPA dilaksanakan di kawasan sekitar Empangan Gunung Pulai, Pontian Kechil, Upper Layang dan Lower Layang, dengan paras air di kawasan berkenaan masih berada pada tahap amaran. | Foto FB Fazli Salleh
#IskandarPuteri – Operasi Pembenihan Awan (OPA) pada 22 dan 24 September lalu berjaya membantu menghasilkan hujan di beberapa kawasan tadahan empangan yang disasarkan di Johor, sekali gus diharap dapat menyokong usaha memulihkan paras sumber air di negeri ini.
Pada 22 September lalu, operasi OPA dilaksanakan di kawasan sekitar Empangan Gunung Pulai, Pontian Kechil, Upper Layang dan Lower Layang, dengan paras air di kawasan berkenaan masih berada pada tahap amaran.
Antara kawasan berhampiran yang merekodkan taburan hujan ialah Kong-Kong, Masai sebanyak 112.0 milimeter (mm); MARDI Pontian (106.4 mm); Bukit Layang-Layang (78.0 mm); Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (75.9 mm) dan Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru (17.8 mm).
Sementara itu, operasi pada 24 September turut menyasarkan kawasan tadahan Empangan Machap dan Empangan Pulai, dengan Stesen Meteorologi Lapangan Terbang Antarabangsa Senai merekodkan taburan hujan sebanyak 48.2 mm, manakala Stesen Meteorologi Kluang pula merekodkan 0.6 mm.
Dalam perkembangan berkaitan cuaca, Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) turut mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang melibatkan tiga daerah di Johor, iaitu Segamat, Kluang dan Kulai sehingga jam 9 malam ini.
Amaran berkenaan dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm sejam yang hampir berlaku atau dijangka berlaku selama lebih sejam. Amaran ribut petir merupakan amaran jangka pendek yang sah untuk tempoh tidak melebihi enam jam bagi setiap keluaran.
Kerajaan Negeri merakamkan penghargaan kepada METMalaysia atas khidmat nasihat serta kepakaran teknikal, selain Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) atas kerjasama dalam menjayakan operasi berkenaan.
Pemantauan terhadap keadaan empangan, sumber air dan cuaca akan terus dilaksanakan dari semasa ke semasa bagi memastikan langkah mitigasi yang bersesuaian dapat diambil demi menjamin kestabilan bekalan air kepada rakyat Johor.
Terdahulu, YB Tuan Ir. Mohammad Fazli Mohamad Salleh, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Negeri Johor, memaklumkan OPA yang dilaksanakan pada 22 dan 24 September telah membantu menghasilkan hujan di beberapa kawasan tadahan empangan yang disasarkan di negeri ini.
#JohorSafeZone
#PembenihanAwan
#BekalanAirJohor
#EmpanganJohor
#FenomenaElNino
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


