KERAJAAN NEGERI PERTIMBANG BANTUAN KASIH JOHOR FASA KELIMA

YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor hadir pada Majlis Jalinan Rakyat Daerah Pontian.
#Pontian – Kerajaan Johor sedang mempertimbangkan kesinambungan inisiatif Bantuan Kasih Johor (BKJ) ke Fasa Kelima bagi meneruskan usaha membantu rakyat dengan perincian lanjut mengenainya dijangka akan diumumkan pada November ini.
Pertimbangan tersebut adalah antara usaha berterusan Kerajaan Negeri bagi memastikan hasil negeri dapat dikembalikan semula kepada rakyat, selaras dengan agenda Maju Johor serta keutamaan menjaga kebajikan Bangsa Johor daripada segenap latar belakang masyarakat di negeri ini.
Di bawah Belanjawan Johor 2026, sebanyak RM157 juta sudah diperuntukkan bagi pelaksanaan BKJ menerusi 23 inisiatif yang telah memanfaatkan lebih 330,000 penerima di seluruh negeri ini, termasuk golongan anak yatim, keluarga miskin, ibu tunggal, petani, nelayan, warga emas, orang kurang upaya (OKU), pesakit kronik dan pelajar.
Sebelum ini, Kerajaan Negeri turut meluluskan peruntukan tambahan berjumlah RM47.13 juta bagi menyalurkan BKJ Fasa 4 kategori rayuan, sekali gus meneruskan sokongan bantuan berbentuk kewangan kepada rakyat yang memerlukan.
Pelaksanaan BKJ merupakan sebahagian daripada usaha Kerajaan Negeri dalam memperkukuh jaringan keselamatan sosial supaya manfaat pembangunan negeri dapat dinikmati secara lebih menyeluruh oleh rakyat di seluruh Johor tanpa ada golongan sasar yang terkecuali.
Perincian mengenai peruntukan, kategori penerima dan bentuk bantuan BKJ Fasa 5 dijangka akan diumumkan ketika pembentangan Belanjawan Johor 2027, November depan.
Terdahulu, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor, menghadiri Majlis Jalinan Rakyat Daerah Pontian di Dataran Dato Jalok, Benut, hari ini.
#JohorSafeZone
#BantuanKasihJohor
#Pontian
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor



