BELANJAWAN 2027 PERKUKUH EKONOMI DAN PRASARANA JOHOR

YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri membawa beg dokumen berisi teks ucapan Pembentangan Belanjawan 2027 Malaysia MADANI. | Foto FB Anwar Ibrahim
#IskandarPuteri – Pelbagai inisiatif pembangunan dan kesejahteraan rakyat diumumkan menerusi pembentangan Belanjawan 2027 yang dilihat mampu memberi manfaat kepada Johor khususnya membabitkan aspek pengukuhan sektor pelaburan, penambahbaikan pengangkutan awam, penyediaan perumahan baharu serta pembangunan kemudahan kesihatan dan keselamatan.
Dalam aspek pelaburan, Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) merekodkan nilai pelaburan sebanyak RM132 bilion bagi tempoh 2025 hingga Jun 2026, manakala Pelan Induk JS-SEZ dijadual akan dilancarkan pada hujung tahun ini.
Potensi pelaburan di Johor terus terserlah apabila Nexus Sedenak berpotensi menarik pelaburan sebanyak RM12 bilion, selain dijangka bakal mewujudkan kira-kira 45,000 peluang pekerjaan.
Kepesatan ekonomi ini turut disokong dengan penambahbaikan persimpangan Sedenak dan kemudahan perhubungan pelabuhan serta perdagangan serantau, manakala penubuhan Pasukan Petugas Khas pula dilaksanakan bertujuan untuk menyelaras rundingan dan menarik pelaburan strategik ke JS-SEZ.
Sementara itu, bagi meningkatkan kecekapan mobiliti rakyat, pelaksanaan sistem Electric Autonomous Rapid Transit (e-ART) serta penambahbaikan perkhidmatan bas dan KTM Komuter turut diberi perhatian bagi mengatasi kesesakan lalu lintas di sekitar bandar raya Johor Bahru, selain ia dilihat berupaya memudahkan pergerakan harian penduduk, khususnya ke tempat kerja, institusi pendidikan dan pusat ekonomi.
Bagi aspek perumahan pula, hampir RM1 bilion diperuntukkan pada Belanjawan 2027 bagi pelaksanaan projek perumahan Rumah Mesra Rakyat dan Residensi Rakyat, termasuk pembangunan projek rumah baharu di Kulai bagi memperluas peluang rakyat untuk mendapatkan kediaman yang lebih selesa dan mampu dimiliki.
Selain itu, sektor tenaga Johor turut diperkasakan menerusi pelaksanaan projek tenaga hibrid berkapasiti satu gigawatt, pengukuhan Kompleks Bersepadu Pengerang sebagai hab strategik bekalan bahan api negara serta pembangunan Pengerang Biorefinery bagi penghasilan bahan api rendah karbon, sekali gus menyokong kepelbagaian sumber tenaga dan peralihan ke arah penggunaan bahan api yang lebih mampan.
Bagi sektor agromakanan pula, projek susu di Mersing dijangka mampu menyumbangkan sebanyak 50 peratus kepada pengeluaran susu Johor menjelang 2030, sekali gus berpotensi memperkukuh industri tenusu tempatan, meningkatkan pengeluaran makanan serta menyokong usaha mempertingkat keterjaminan bekalan makanan di negeri ini.
Belanjawan 2027 turut memberi penekanan terhadap sektor kesihatan dan pendidikan menerusi pembinaan Kompleks Klinik Pakar dan Pusat Rawatan Harian di Hospital Sultanah Aminah (HSA) serta pembinaan gantian penuh Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Pamol di Kluang bagi menambah baik akses kepada perkhidmatan kesihatan dan menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif.
Dari sudut keselamatan maritim, pembinaan Ibu Pejabat Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Negeri di Tanjung Kupang, Gelang Patah dilihat bakal menyokong keperluan operasi dan penguatkuasaan maritim.
Pembinaan Rumah Keluarga Angkatan Tentera di Skudai turut menjadi antara inisiatif yang diumumkan pada belanjawan kali ini yang akan memberi perhatian kepada soal kebajikan anggota keselamatan dan keluarga mereka.
Perancangan menerusi Belanjawan 2027 dijangka membuka ruang kepada pembangunan yang lebih menyeluruh di Johor, meliputi penambahbaikan kemudahan awam, peluasan peluang ekonomi dan peningkatan kesejahteraan rakyat, selaras dengan aspirasi Johor untuk terus berkembang sebagai hab pertumbuhan ekonomi strategik di negara dan rantau ini kelak.
#Belanjawan2027
#Johor
#JSSEZ
#MajuJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas


