JOHOR TERUS PERJUANG KEPERLUAN INFRASTRUKTUR DAN PEMBANGUNAN STRATEGIK

Antara keutamaan yang perlu diberikan perhatian ialah projek pembangunan Lebuhraya Pantai Barat (WCE) bagi meningkatkan rangkaian perhubungan Pontian, Batu Pahat dan Muar serta pelaksanaan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 4 (LPT4) untuk memperkukuh jaringan pengangkutan ke Kota Tinggi dan Mersing. | Foto Arkib MDJ
#IskandarPuteri – Kerajaan Johor akan meneruskan libat urus rapat dengan Kerajaan Persekutuan bagi memperjuangkan pelaksanaan beberapa projek infrastruktur dan keperluan strategik negeri ini, khususnya bagi memastikan pertumbuhan ekonomi yang pesat dapat diseimbangkan dengan peningkatan kemudahan serta kesejahteraan rakyat.
Antara keutamaan yang perlu diberikan perhatian ialah projek pembangunan Lebuhraya Pantai Barat (WCE) bagi meningkatkan rangkaian perhubungan Pontian, Batu Pahat dan Muar serta pelaksanaan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 4 (LPT4) untuk memperkukuh jaringan pengangkutan ke Kota Tinggi dan Mersing.
Keperluan lain yang turut dizahirkan merangkumi pelebaran Projek Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), termasuk sambungan ke arah Tangkak, penambahan kapasiti bekalan air dan elektrik serta pembangunan infrastruktur utiliti bagi menyokong kemasukan lebih banyak pelaburan baharu dan memenuhi keperluan rakyat.
Kerajaan Negeri turut memberi perhatian terhadap penambahan dan penaiktarafan kemudahan kesihatan, termasuk keperluan pembinaan hospital baharu di kawasan yang mengalami pertumbuhan penduduk yang pesat.
Dalam aspek pembangunan modal insan pula, Johor terus memberikan keutamaan kepada pembangunan bakat menerusi Majlis Pembangunan Bakat Johor (JTDC) dengan kerjasama institusi pendidikan dan pemain industri bagi memastikan program latihan yang disediakan dapat memenuhi keperluan pasaran pekerjaan terkini, khususnya dalam sektor semikonduktor, pembuatan termaju, pusat data, ekonomi digital, logistik dan tenaga hijau.
Usaha berkenaan bertujuan melahirkan lebih ramai jurutera, juruteknik dan tenaga kerja berkemahiran tinggi dalam kalangan anak Johor, sekali gus membuka peluang pekerjaan berkualiti dengan pendapatan lebih tinggi tanpa perlu bergantung pada pasaran pekerjaan di luar negeri atau merentas sempadan.
Selain itu, kejayaan pembangunan ekonomi Johor bukan sekadar diukur berdasarkan jumlah pelaburan yang diumumkan, sebaliknya turut mengambil kira keupayaan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan untuk berkembang bersama pelabur antarabangsa, penyediaan pekerjaan berpendapatan tinggi serta peningkatan kualiti hidup rakyat.
Terdahulu, YB Tuan Lee Ting Han, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Johor, menzahirkan penghargaan kepada YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri, atas pembentangan Belanjawan MADANI 2027 di Dewan Rakyat, sebentar tadi.
#JohorSafeZone
#Belanjawan2027
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


