IJAZAH ARWAH JADI KEBANGGAAN KELUARGA


Pro Canselor Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) merangkap Setiausaha Kerajaan Johor, Tan Sri Dato’ Dr Hj Azmi Rohani menyampaikan skrol Ijazah Sarjana Muda Sains (Fizik Gunaan) kepada Fatimah Paiman, ibu kepada Allahyarham Syazwani Mohd Ngadiran Raja / Gambar Ihsan UTHM

 

ISKANDAR PUTERI — “Walaupun saya tidak berpeluang untuk melihat anak kedua naik ke pentas untuk menerima ijazahnya, namun skrol kejayaannya tetap menjadi kebanggaan saya pada dirinya,” kata Fatimah Paiman.

Fatimah, 49 ibu kepada Allahyarham Syazwani Mohd Ngadiran Raja berkata, beliau reda dengan takdir ilahi dan tetap berasa berbangga dengan kejayaan yang diraihnya dalam pelajaran.

“Allahyarham Syazwani meninggal dunia pada Julai lalu disebabkan serangan jantung ketika arwah sedang menjali latihan praktikal di industri.

“Saya mendapat sedikit kekuatan apabila melihat skrol graduan ini dan nekad untuk meneruskan kehidupan seperti biasa bersama adik dan abang arwah yang juga seorang orang kurang upaya (OKU),” katanya.

Terdahulu, Fatimah menerima ijazah sarjana muda terbabit yang disampaikan oleh Pro Canselor Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) yang juga Setiausaha Kerajaan Johor, Tan Sri Dato’ Dr Hj Azmi Rohani sejurus selesai sidang kedua Istiadat Konvokesyen Ke-22 UTHM

Hadir sama dalam sesi berkenaa ialah Naib Canselor UTHM, Prof Ir Dr Ruzairi Abdul Rahim, Timbalan-Timbalan Naib Canselor dan Pegawai-Pegawai Kanan UTHM.

Fatimah berkata, walaupun sebak dengan kehilangan anak gadisnya itu namun beliau tetap berbangga arwah dapat menghabiskan Ijazah Sarjana Muda Sains (Fizik Gunaan) kelas pertama dan menerima Anugerah Naib Canselor.

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor