JOHOR PELOPOR PENTADBIRAN MODEN DI TANAH MELAYU

Bangunan Sultan Ibrahim di Bukit Timbalan, merupakan mercu tanda bersejarah dan menjadi simbol Johor sebagai antara negeri terawal di Tanah Melayu yang memperkenalkan sistem pentadbiran moden dan tersusun sejak lebih satu abad lalu. | Foto Arkib MDJ
#IskandarPuteri – Menjelang Pilihan Raya Umum Dewan Negeri (PRU DN) Johor Ke-16, rakyat di negeri ini bakal memilih 56 Ahli Dewan Negeri (ADUN) yang akan menentukan hala tuju pentadbiran negeri untuk tempoh lima tahun akan datang.
Di sebalik proses demokrasi tersebut, ramai mungkin tidak menyedari bahawa Johor merupakan antara negeri terawal di Tanah Melayu yang memperkenalkan sistem pentadbiran moden dan tersusun sejak lebih satu abad lalu.
Menurut YB Prof. Dato’ Dr. Kassim Thukiman, Ahli Penasihat Jumaah Majlis DiRaja Johor, usaha pemodenan itu bermula sejak era pemerintahan Almarhum Dato’ Temenggong Daeng Ibrahim sebelum diteruskan secara lebih menyeluruh oleh Almarhum Sultan Abu Bakar menerusi pelbagai reformasi pentadbiran.
Beliau berkata, kemuncak kepada usaha tersebut ialah penggubalan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor (UUTKJ) pada 14 April 1895 yang kemudiannya menjadi asas kepada sistem pemerintahan moden Johor.
UUTKJ 1895 memperincikan peranan institusi utama kerajaan termasuk Institusi Raja dan Waris, Majlis Jemaah Menteri, Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) serta Dewan Negeri yang berfungsi memastikan pentadbiran Kerajaan Negeri berjalan secara teratur dan berkesan.
Johor turut mencatat sejarah tersendiri apabila menjadi negeri pertama yang mewujudkan Majlis Jemaah Menteri, selain memperkenalkan jawatan Menteri Besar seawal tahun 1883 dan Institusi Mufti pada tahun 1873 bagi memperkukuh sistem pentadbiran negeri.
Menurut Prof. Kassim, UUTKJ turut menggambarkan pelaksanaan sistem demokrasi terawal di negara ini apabila Dewan Negeri diwujudkan bagi mewakili pelbagai golongan berkepentingan di Johor termasuk masyarakat Cina dan India.
Beliau berkata, peranan institusi Kesultanan Johor dalam memperkukuh pentadbiran negeri turut diterjemahkan menerusi penubuhan pelbagai jabatan kerajaan serta pelaksanaan Belanjawan Negeri yang menjadi asas kepada pembangunan infrastruktur, pendidikan dan ekonomi negeri.
Sejarah panjang ini menjadi bukti bahawa proses memilih wakil rakyat bukan sekadar menentukan kepimpinan semasa, sebaliknya turut meneruskan legasi sistem pentadbiran dan demokrasi yang telah dibangunkan di Johor sejak tahun 1895.
#JohorSafeZone
#DewanNegeriJohor
#PRUDNJohor
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


