DEWAN NEGERI JOHOR CERMINKAN LEGASI PENTADBIRAN DAN DEMOKRASI NEGERI

Dewan Negeri Johor terus berkembang sebagai institusi penting yang menyediakan ruang kepada wakil rakyat membahaskan dasar, pembangunan dan kepentingan rakyat mengikut peraturan serta amalan yang telah dibentuk sejak sekian lama.

 

#IskandarPuteri – Dewan Negeri Johor yang berfungsi sebagai institusi perundangan negeri hari ini merupakan sebahagian daripada legasi pemerintahan Johor yang dibangunkan secara berperingkat sejak lebih satu abad lalu.

 

Menurut YB Prof. Dato’ Dr. Kassim Thukiman, Ahli Penasihat Jumaah Majlis DiRaja Johor, institusi Kesultanan Johor memainkan peranan penting dalam membentuk sistem pemerintahan yang moden bagi memastikan pentadbiran negeri dapat berjalan secara cekap, teratur dan berkesan.

 

Beliau berkata, usaha tersebut diterjemahkan menerusi pembentukan struktur pentadbiran yang jelas dengan setiap pemimpin diberikan tanggungjawab mengikut bidang masing-masing bagi memastikan segala urusan kerajaan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

 

Johor turut memperkenalkan tiga jawatan ex-officio iaitu Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan Negeri dan Penasihat Undang-Undang Negeri yang menjadi antara komponen penting dalam memastikan pentadbiran kerajaan dapat berjalan dengan tersusun.

 

Selain itu, pelbagai jabatan kerajaan turut diwujudkan bagi memenuhi keperluan pentadbiran yang semakin berkembang termasuk Jabatan Perbendaharaan, Jabatan Tanah dan Galian, Jabatan Agama, Jabatan Pendidikan, Jabatan Kehakiman, Askar Timbalan Setia Negeri Johor (JMF), Polis, Penjara dan Pos.

 

Perancangan yang tersusun itu membolehkan sistem kewangan negeri dapat diperkukuhkan menerusi pelaksanaan Belanjawan Negeri yang menjadi asas kepada pelaksanaan pelbagai agenda pembangunan dan perkhidmatan kerajaan.

 

Pada masa sama, Dewan Negeri Johor terus berkembang sebagai institusi penting yang menyediakan ruang kepada wakil rakyat membahaskan dasar, pembangunan dan kepentingan rakyat mengikut peraturan serta amalan yang telah dibentuk sejak sekian lama.

 

Menurut Prof. Dato’ Dr. Kassim, budaya perbahasan yang tersusun serta pematuhan kepada peraturan Dewan menjadi antara faktor yang membantu memastikan fungsi Dewan Negeri terus relevan dalam sistem pemerintahan negeri.

 

Justeru, generasi muda dan Bangsa Johor perlu memahami sejarah institusi Dewan Negeri Johor kerana ia bukan sahaja mencerminkan perjalanan demokrasi negeri, malah menggambarkan tanggungjawab wakil rakyat dalam memperjuangkan kepentingan rakyat melalui saluran yang telah diwujudkan sejak sekian lama.

 

#JohorSafeZone
#DewanNegeriJohor
#PRUDNJohor
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor